comscore
Tumpuan :
Nasional

Youtuber mohon maaf video wanita peraga pakaian muslimah depan lelaki

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Youtuber, Ammar Nazhan memohon maaf atas keterlanjurannya kerana menerbit dan memuat naik video membabitkan sekumpulan wanita memperagakan pakaian muslimah dengan berniqab di hadapan beberapa lelaki.

Ammar Nazhan membuat permohonan maaf itu menerusi perkongsian video di Youtube semalam.

“Terima kasih kepada semua termasuk netizen, ustaz dan ustazah yang sudah tegur secara peribadi.

“Teguran itu betul. Apabila seseorang berilmu tegur maksudnya Allah masih sayang. Dia (Allah) nak tegur Am dan ‘team’ (pasukan) ke arah lebih baik,” katanya.

Berkongsi kisah di sebalik pembikinan video itu, Ammar Nazhan menjelaskan niat asalnya adalah untuk menghadiahkan niqab kepada model wanita terbabit.

“Dalam masa sama, mereka memperagakan pakaian, benda itu perkara biasa untuk buat ‘content’ (video) bertukar-tukar pakaian.

“Cuma kali ini versi berbeza, kita beri peluang mereka bertukar wajah dengan berniqab.

“Bukan niat Am mempersendakan Saidatina Fatimah az-Zahra dan sebenarnya tiada niat pun nak memperlekehkan sesiapa,” katanya.

Menurut Ammar Nazhan, dia mengambil masa untuk mengeluarkan kenyataan susulan video tidak disenangi ramai itu kerana mahu menunggu isu reda sedikit. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini