comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bainun tuduh Ka Zu menipu – Saksi

FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa saksi pihak pendakwaan, Zurianty Sudin ‘menipu’ sudah meminta izin Siti Bainun Ahd Razali untuk ke kediaman pengasas Rumah Bonda itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini, dua tahun lalu.

Memberitahu demikian pada prosiding perbicaraan Siti Bainun dalam kes mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down dikenali Bella, Nor Aidil Farhab Johaizad, 26, sebagai saksi keempat pembelaan, memberitahu dia yang membawa Zurianty masuk ke kondominium berkenaan.

Semasa pemeriksaan utama oleh peguam, Mohammad Farhan Maaruf, yang mewakili Siti Bainun, Nor Aidil yang juga jiran pengasas Rumah Bonda itu, berkata Zurianty memberitahu kononnya dia sudah meminta izin Siti Bainun untuk ke rumah wanita itu.

“Saya dapat panggilan daripada Kak Zu (Zurianty) minta saya bawakan ke rumah Siti Bainun dengan alasan untuk tengok anak-anak kerana Siti Bainun dekat Hospital Sungai Buloh dan tiada orang dewasa di rumah.

“Dia kata Siti Bainun izinkan, sebab saya ada kad akses untuk masuk ke kondominium, jadi saya jawab okey esok. Kemudian esoknya saya ergi ke rumah Kak Zu ambil dia dan kami naik kereta sebelum berhenti di stesen minyak untuk dia beli makanan sebelum ke kondominium,” katanya.

Bercerita lanjut, Nor Aidil memberitahu, ketika di hadapan rumah Siti Bainun, dia pelik melihat Zurianty secara tiba-tiba menangis selepas penghuni membuka pintu.

Lebih menghairankan, katanya, Zurianty tidak masuk ke dalam rumah dan hanya duduk di hadapan pagar jeriji rumah sambil memegang telefon bimbit serta membuat rakaman video.

“Lebih kurang 10 minit, dia (Zurianty) suruh saya balik dan dia nak tunggu ambulans datang untuk bawa Bella ke hospital.

“Selepas itu, saya dapat mesej daripada Siti Bainun bertanya adakah Kak Zu datang rumah. Saya macam pelik sebab sebelum itu Kak Zu kata sudah minta izin dan Siti Bainun beritahu saya ‘dia tipulah tu’,” katanya.

Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, sama ada dia melihat kecederaan Bella, saksi itu menjawab hanya nampak luka.

Ditanya apa lagi yang dilihat saksi ketika itu, Nor Aidil menjawab hanya melihat Zurianty menangis sambil menyebut beberapa perkataan iaitu ‘Ya Allah’, ‘anak mami’ dan ‘Bella’.

Dalam prosiding hari ini, turut memberi keterangan adalah Jurutranskrip, Sarjan N Chandiraraoo selaki saksi kelima pembelaan dan pereka grafik, Engku Farah Hanis Engku Abdul Jalil, saksi keenam pembelaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

Loading...
Terkini