comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] LRT laluan Kelana Jaya, beroperasi sepenuhnya esok

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut serta dalam sesi ujian keberkesanan sistem dan keselamatan operasi LRT hari ini.

Oleh Amirulhakim Lokman

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya, kembali beroperasi sepenuhnya bermula 6 pagi esok.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, berdasarkan tinjauan selepas menyertai sesi ujian keberkesanan sistem dan keselamatan operasi LRT, sistem-sistem kritikal keselamatan adalah stabil tanpa gangguan.

 

“Saya baru sahaja menaiki tren LRT sebagai sebahagian daripada sesi ujian keberkesanan sistem dan keselamatan dan amat berpuast hati dengan analisa ke atas ujian meluas yang dijalankan.

“Selain itu, pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik ATC dan mengisytiharkan bahawa perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, selain APAD, sesi ujian yang dijalankan malam semalam sehingga awal pagi hari ini turut disertai Bahagian Penguatkuasa Rel (RED) dan Bahagian Perancangan (REL).

“Meskipun sistem ATC disahkan stabil, pemantauan oleh pakar teknikal Rapid Rail dan juga pihak OEM akan diteruskan bagi memastikan kelancaran sistem yang berterusan.

“Saya berharap pembukaan ini dapat memberi kelegaan kepada pengguna pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang untuk berulang alik ke tempat kerja dan untuk menjalankan aktiviti harian. Sya juga telah meminta Prasarana untuk terus menyediakan bas-bas perantara di stesen-stesen hot spot sebagai langkah persediaan,” katanya.

Pengoperasian semula ini juga adalah dua hari lebih awal daripada yang dijangkakan sebelum ini, selepas khidmat tren berkenaan mengalami gangguan sisten kawalan tren automatik (ATC) sejak Sabtu lalu.

“Kepada pengguna yang terjejas, pampasan tiket selama 7 hari akan diberikan walaupun pemberhentian perkhidmatan selama 5 hari. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua jurutera Rapid Rail dan semua pihak yang terlibat, bertungkus lumus 24 jam, membaiki dan memulihkan sistem sejak hari pertama kejadian berlaku,” katanya.

Sejak Rabu lalu, sebahagian perkhidmatan sistem LRT laluan Kelana Jaya digantung operasi selama tujuh hari, membabitkan 16 stesen dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park.

Pada Selasa, Rapid Rail memaklumkan, perkhidmatan laluan berkenaan mengalami gangguan dan terpaksa dihentikan, berpunca daripada sistem kawalan tren automatik (ATC), yang menyebabkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan tren.

Loading...
Terkini