comscore
Tumpuan :
Uncategorized

Mayat Suspek Ditemui

Mayat seorang lelaki yang terjun ke dalam Sungai Sembrong Kecil, ketika cuba meloloskan diri daripada serbuan polis di Kluang, Johor semalam, berjaya ditemui petang tadi.

Mangsa yang berumur 33 tahun ditemui kira-kira 150 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Penguasa Bomba, Akob Sidek berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Zaki Obit ditemui jam 4.45 petang oleh unit scuba JBPM di dasar sungai dengan kedalaman air 2 meter.

Mangsa lemas selepas terjun ke dalam sungai berkenaan bersama empat lagi rakannya kira-kira jam 4.50 petang ketika anggota polis dari JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang melakukan serbuan di bawah jambatan di sungai berkenaan kerana dipercayai menjadi tempat penagih dan pengedar dadah.

Bagaimanapun hanya dua lelaki berusia 39 dan 41 tahun ditahan, manakala lima lagi termasuk mangsa, terjun ke dalam sungai.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang untuk bedah siasat.

Seramai 29 anggota terdiri daripada Bomba dan Penyelamat Kluang, Agensi Pertahanan Awam Kluang dan polis terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat yang berakhir jam 5.30 petang.

Loading...
Terkini