comscore
Tumpuan :
Politik

PASCA PRU-15: Kemelut calon PM : BN sepakat berkecuali, serah kepada budi bicara Agong

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dipercayai sepakat menyerahkan kepada budi bicara serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam soal memutuskan calon Perdana Menteri ke-10.

Sumber parti yang dihubungi Berita Harian memaklumkan, blok parti itu mengambil pendirian berkecuali dalam memilih mana-mana calon Perdana Menteri sama ada daripada Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).

“Begitulah. Sudah diputuskan. Akan dimaklumkan nanti,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada Ahli Parlimen BN sudah mencapai kata sepakat mengenai pencalonan Perdana Menteri ke-10.

Setakat ini, dua nama calon Perdana Menteri dijangka dipersembahkan ke Istana Negara sebelum jam 2 petang nanti, iaitu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, sumber itu memaklumkan, Ahli Parlimen BN juga bersetuju hanya akan menyertai mana-mana gabungan kerajaan jika dijemput gabungan yang menang dan jika sebaliknya, mereka sepakat untuk kekal sebagai pembangkang.

Sementara itu Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang ditemui media di lobi Menara Dato’ Onn, mengesahkan tiada sebarang akuan bersumpah (SD) ditandatangani setakat tengah hari ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, malam tadi menegaskan kesediaan untuk menjadi blok pembangkang, selain mencadangkan PN dan PH membentuk kerajaan bersama.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini turut menyatakan hasrat sama supaya BN berperanan sebagai pembangkang.

Kenyataan terbaru Hishammuddin itu sekali gus menunjukkan BN sepakat mengambil keputusan ‘en bloc’ dalam menentukan soal pencalonan Perdana Menteri.

Loading...
Terkini