comscore
Tumpuan :
Mahkamah

{KEMAS KINI} Datuk Roy, pegawai SPRM mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah

 

Ahli perniagaan, Mohd Hussein Mohd Nasir atau lebih dikenali Datuk Roy didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan terbabit rasuah RM2.64 juta berhubung program Jana Wibawa – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Mohd Hussein Mohd Nasir atau dikenali sebagai ‘Datuk Roy’  mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan rasuah  RM2.64 juta berhubung program Jana Wibawa, termasuk  RM640,000 sebagai dorongan supaya anak bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Fakhri Yassin tidak direman SPRM.

Turut mengaku tidak bersalah, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Rasyidi Mohd Said, 43 atas tuduhan bersama Datuk Roy meminta rasuah RM400,000 dan menerima rasuah RM240,000.

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Rasyidi Mohd Said, tiba di mahkamah Sesyen Kuala Lumpur didakwa bersama Datuk Roy meminta rasuah RM400,000 dan menerima rasuah RM240,000 – FOTO: NSTP
Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa meminta rasuah RM2 juta daripada dua individu dikenali Siti Dalena Berhan, 47 dan Syed Farid Syed Ahmad A-Attas, 41, di Jalan 14/1 Kampung Melayu Kepong, Kepong, di sini, awal Februari lalu.
Ia sebagai dorongan menukarkan pertuduhan lebih ringan, menukar keterangan tertuduh kepada saksi, dan mengurangkan wang jaminan terhadap kes pendakwaan dihadapi Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.
Datuk Roy juga didakwa bersama Mohd Rasyidi secara rasuah meminta wang tunai RM400,000 dan menerima RM240,000 masing-masing daripada Siti Dalena dan Syed Farid sebagai dorongan untuk tidak menahan reman Fakhri semasa siasatan SPRM.
Dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Lorong Kurau, Bangsar, antara jam 9 malam hingga 11 malam, 5 Mac lalu dan restoran makanan segera di Desa Sri Hartamas, jam 2 petang hingga 4 petang pada 6 Mac lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.
Hakim Suzana Hussin menetepkan  jaminan RM15,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin masing-masing terhadap Datuk Roy dan Mohd Rasyidi, serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur hingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 7 Julai depan untuk sebutan semula kes.

 

Loading...
Terkini