comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRU-15: COVID-19 terkawal, jangan takut keluar mengundi – KJ

SUNGAI BULOH: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin meminta supaya masyarakat tidak takut untuk keluar mengundi Sabtu ini kerana situasi Covid-19 di negara ini masih terkawal.

Jaminan itu disuarakan selepas beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh meminta pandangan pakar mengenai keadaan terkini pandemik berkenaan.

“Dua minggu lalu, saya keluarkan nasihat berkaitan dengan gelombang Covid-19 baharu yang melanda negara, syukurlah dengan sokongan daripada rakyat yang mendengar nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kita lihat pada minggu lalu kes baharu menurun sebanyak 13.4 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Saya juga sudah bertanyakan kepada Timbalan Ketua Pengarah KKM serta pakar daripada bahagian penyakit berjangkit bagaimana dengan kemasukan pesakit Covid-19 di hospital, tiada peningkatan dilaporkan dan jumlahnya kini dilihat mula turun.

“Dengan itu saya yakin bahawa situasi Covid-19 dan gelombang kecil ini dalam keadaan terkawal, jadi kita nasihatkan masyarakat untuk terus berwaspada dan berhati-hati terutamanya pada hujung minggu ini kerana akan ada ceramah, kempen serta hari pengundian yang sudah tentu akan berlakunya kesesakan.

“Selamat untuk keluar mengundi, saya sudah minta pandangan pakar dan mereka menyatakan gelombang kini terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media status terkini Covid-19 di Hospital Sungai Buloh hari ini.

Menyentuh mengenai kebimbangan masyarakat bahawa tiada laluan khas kepada individu positif Covid-19 untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Khairy meminta masyarakat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka.

Malah, kebimbangan masyarakat sekiranya wabak boleh menular ketika mencelup jari ke dakwat kerana ia turut digunakan kepada pesakit Covid-19, Khairy berkata, mereka perlu mengamalkan penggunaan cecair membasmi kuman atau ‘hand sanitizer’ sebelum dan selepas membuang undi. 

Loading...
Terkini