comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: `Undi PH, BN masuk neraka’ : Mohd Shahiful digesa tarik balik kenyataan

Foto : NSTP

Oleh : Zahir Senapiah.

Parit Sulong : Semua pihak yang terbabit dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) digesa menghentikan apa jua ucapan yang boleh mengelirukan umat Islam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, paling membimbangkan perbuatan seperti itu boleh menjejaskan fahaman sekaligus memberi kesan kepada aqidah umat Islam.

Beliau mengulas permohonan maaf Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd Shahiful Nasir ekoran keterlanjurannya membuat kenyataan sesiapa yang mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.

Jelas Mohd Fared, meskipun telah membuat permohonan maaf secara terbuka, Mohd Shahiful wajar menarik balik kenyataan itu bagi mengelak umat Islam terus keliru.

“Kita bersyukur Mohd Shahiful telah sedar kesilapan dan membuat permohonan maaf secara terbuka, tetapi lebih molek sekiranya Shahiful menarik balik ucapan yang telah dibuat bagi mengelak salah faham di kalangan umat Islam” katanya.

Mohd Fared yang juga ADUN Semerah menambah, umat Islam perlu bersangka baik terhadap Mohd Shahiful kerana beliau mungkin teruja berkempen hingga tidak sedar apa yang dicakapkan.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda BN Johor bersyukur kerana kempen PRU-15 di negeri itu lancar dan tidak menyentuh isu sensitif yang boleh memecah belahkan perpaduan umat Islam.

“Alhamdulillah, di Johor umumnya semua pihak termasuk parti bertanding menunjukkan kematangan dalam kempen-kempen mereka, syukurlah” Katanya.

Dalam video dimuatnaik laman Facebook Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful mengemukakan permohonan maaf dan mengakui kenyataan dibuat menyinggung banyak pihak. 

Loading...
Terkini