comscore
Tumpuan :
Nasional

Segera Pindahkan Ternakan Ke Kawasan Lebih Selamat

KUALA TERENGGANU: Penternak ruminan diminta segera memindahkan ternakan ke kawasan lebih selamat bagi mengelak menanggung kerugian jika banjir melanda.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim, berkata walaupun banjir tidak boleh dijangka, warga tani terutama penternak dan nelayan perlu sentiasa bersiap sedia.

Katanya, penternak wajar segera memindahkan ternakan ke kawasan lebih selamat apabila hujan berterusan beberapa hari kerana limpahan air boleh berlaku dengan cepat.

“Setakat ini ada kira-kira 5,000 penternak ruminan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Ketika banjir luar biasa di negeri ini Februari lalu, sektor penternakan menanggung kerugian paling besar,” katanya di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas persiapan perlu dilakukan penternak bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang diramal berlaku pertengahan bulan depan.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata, seramai 55 penternak kerugian berjumlah kira-kira RM750,000 selepas ternakan mereka tidak dapat diselamatkan ketika banjir Februari lalu.

“Kerajaan memperuntukkan RM1 juta kepada Tabung Bencana Pertanian untuk membantu meringankan beban warga tani yang terkesan disebabkan bencana.

“Kita sudah mengangkat kertas cadangan penambahan bantuan kepada kerajaan negeri sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula Oktober depan,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini