comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita maut ketika mendaki bukit di Tuaran

Foto Bomba – Pasukan bomba berusaha membawa mangsa keluar dari lokasi pendakian.

TUARAN: Seorang wanita meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika mendaki Bukit Kokobuan Trig di Kampung Rungus Nahaba, Tamparuli di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Jennifer Jolly, 46, dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian sekitar jam 12.40 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.49 tengah hari.

Katanya, seramai sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejauh 55 kilometer berserta satu pikap.

“Sebaik tiba, pasukan bomba perlu berjalan kaki sejauh 2.5 kilometer untuk sampai ke lokasi mangsa dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri.

“Bagaimanapun, paramedik yang memeriksa keadaan mangsa mendapati mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dihubungi.

Menjelas lanjut, Abdul Qawie berkata, ketika kejadian mangsa sedang melakukan aktiviti mendaki bersama 11 peserta.

“Apabila mangsa rebah dan tidak sedarkan diri, dia diberi bantuan kecemasan CPR oleh jurupandu arah namun mangsa tidak menunjukkan tindak balas sebelum mendapatkan bantuan bomba.

“Setakat ini (9.20 malam), pasukan bomba masih dalam perjalanan turun untuk membawa mayat mangsa keluar dari kawasan hutan menggunakan pengusung.

“Perjalanan agak sukar ketika ini disebabkan cuaca gelap dan laluan licin selepas hujan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini