HOME / Nasional

AIDILFITRI | Sidang Video Petugas Barisan Hadapan Bersama PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpeluang mengadakan sidang video bersama pasukan barisan hadapan (frontliners) sempena Syawal yang bakal tiba. Agensi-agensi yang terlibat pada sidang video tersebut ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Turut sama pada sidang video itu ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Setiap agensi melaporkan perkembangan terkini operasi pemantauan dan penguatkuasaan masing-masing. Sumbangan keringat mereka sejak beberapa bulan lalu dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 telah melandaikan lengkungan COVID-19. Ini sekaligus meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai kawalan serta pengurusan kes jangkitan COVID-19 yang terbaik di dunia. Dalam sidang video itu, Tan Sri Muhyiddin amat berharap agar rakyat dapat bekerjasama membantu para petugas barisan hadapan untuk memastikan rantaian jangkitan COVID-19 ini akhirnya dapat kita putuskan. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.