comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Aktiviti ‘scam’ melalui panggilan telefon melonjak 100 peratus tahun lalu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Aktiviti penipuan atau ‘scam’ melalui panggilan telefon di Malaysia meningkat sebanyak 100.92 peratus pada 2023, demikian menurut Laporan Tahunan 2023 Whoscall.

Laporan itu menunjukkan panggilan penipuan pada tahun lalu adalah sebanyak 1,632,290 panggilan berbanding 812,428 pada 2022.

Ketua Pemasaran Negara Gogolook Malaysia, Man Yong berkata, laporan itu juga menunjukkan bahawa daripada tujuh negara Asia, Malaysia adalah negara kedua teratas yang menyaksikan peningkatan penipuan melalui panggilan telefon.

Beliau berkata, ia selepas Hong Kong dan diikuti oleh Jepun yang menduduki tempat ketiga manakala Taiwan, Thailand, Korea dan Filipina menyaksikan penurunan dalam penipuan melalui panggilan telefon.

Katanya, walaupun terdapat peningkatan risiko panggilan penipuan di Malaysia, Whoscall berjaya membantu penggunanya mengenal pasti panggilan penipuan dengan menambahkan penandaan ‘scam’ kepada 1,632,290 panggilan pada 2023.

“Tetapi, 10.35 peratus bersamaan dengan 168,946 pengguna masih memilih untuk menjawab panggilan penipuan dalam talian yang ditandai itu.

“Ia adalah satu perkara yang membimbangkan. Oleh itu, kami ingin mengingatkan pengguna untuk tidak melayan atau menjawab sebarang panggilan yang ditandakan sebagai ‘scam’ dan segera mengambil tindakan untuk menyekat nombor tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Whoscall adalah aplikasi anti-penipuan digital dibawah penyedia perkhidmatan TrustTech, Gogolook.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga adalah rakan strategik jangka panjang Whoscall dan sentiasa bekerjasama rapat dalam perkongsian pangkalan data bagi memerangi kes penipuan.

Duta Anti Penipuan PDRM, ASP Rahmat Fitri Abdullah, berkata penipuan telekomunikasi adalah kes penipuan dalam talian paling popular dengan lebih 2,092 kes dan mencatatkan kerugian berjumlah RM65.8 juta hanya dalam tempoh dua bulan pertama 2024.

Beliau berkata, satu lagi taktik popular ialah penipuan pautan atau URL yang dikongsi melalui aplikasi pemesejan.

Katanya, menggesa rakyat Malaysia supaya berwaspada dan berfikir dua kali sebelum menekan mana-mana pautan.

Katanya, dengan generatif Kecerdasan Buatan (AI) yang digunakan untuk mencipta kandungan palsu, ia menjadi semakin sukar untuk membezakan ketulenan maklumat yang dikongsi pada ketika ini.

“Malaysia kini menyaksikan trend baharu dalam penipuan berasaskan AI dengan memanipulasi berita di mana penipu menggunakan rakaman berita sebenar dan mengubah klip audio untuk mencapai matlamat tertentu seperti menghasilkan berita positif tentang peluang pelaburan dengan harapan untuk memenangi kepercayaan mangsa.

“Ternyata semakin ramai rakyat Malaysia yang terpedaya dengan helah ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Yong berkata, dengan taktik penipuan yang semakin berkembang dan berubah-ubah, skop pengesanan anti-penipuan Whoscall turut ditambah baik.

Beliau berkata, selain daripada menyaring panggilan dan mesej teks kini ia mempunyai ciri Pengimbas URL (URL Scanner) dan ID Sekuriti (ID Security).

Katanya, dengan menyepadukan teknologi anti-penipuan dikuasakan AI, Whoscall telah mewujudkan kelebihan global dalam mengesan pautan berisiko dan menyemak pautan yang tidak diketahui daripada pelbagai sumber di bawah ciri Pengimbas URL.

“Malah, baru-baru ini, ciri percuma baharu Whoscall, ID Sekuriti, mengubah perlindungan pengguna dengan mengesan kebocoran maklumat dengan pantas hanya dengan menggunakan nombor telefon.

“Pengguna akan mendapat maklumat mengenai akaun, kata laluan dan butiran peribadi yang terjejas secara serta merta.

“Selain itu, ia turut menawarkan cadangan yang boleh diambil pakai untuk meningkatkan keselamatan peribadi pengguna,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini