comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Inflasi di Malaysia terus terkawal pada 1.8 peratus bulan lalu

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kadar inflasi Malaysia kekal 1.8 peratus pada Mac 2024 dengan mata indeks mencatatkan 132.2 berbanding 129.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Kenaikan inflasi pada Mac 2024 didorong oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.0 peratus), restoran dan perkhidmatan penginapan (3.0 peratus), penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.6 peratus) serta pengangkutan (1.3 peratus).

Namun begitu, peningkatan ini telah diimbangi dengan kumpulan utama yang merekodkan peningkatan lebih perlahan iaitu kesihatan (2.1 peratus), makanan dan minuman (1.7 peratus) dan rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.5 peratus)

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan 3.0 peratus berbanding 2.7 peratus pada Februari 2024 bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain disumbangkan oleh kelas perbelanjaan bekalan air yang meningkat kepada 31.4 peratus pada Mac 2024 berbanding 28.8 peratus pada Februari .

Beliau berkata, Kedah telah menaikkan kadar tarif perkhidmatan bekalan air bagi kategori pengguna domestik bermula Mac 2024 berbanding negeri lain yang telah melaksanakan kadar tarif baharu pada Februari 2024.

“Kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan peningkatan lebih rendah iaitu 1.7 peratus pada Mac 2024, berbanding 1.9 peratus pada Februari.

“Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.3 peratus pada bulan Mac 2024 dan Februari 2024 sebanyak 0.5 peratus. Sementara itu, subkumpulan utama makanan di luar rumah meningkat kepada 3.5 peratus, kadar yang sama direkodkan pada Februari 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, inflasi kelas perbelanjaan bijirin dan produk bijirin meningkat lebih rendah kepada 2.0 peratus pada Mac 2024 berbanding 2.5 peratus pada Februari.

“Ini disumbangkan oleh beras basmati yang meningkat perlahan 0.4 peratus berbanding 1.0 peratus pada Februari 2024. Manakala, tepung beras meningkat kepada 9.6 peratus berbanding 8.8 peratus pada Februari.

“Inflasi kelas perbelanjaan susu, produk tenusu lain dan telur mencatatkan peningkatan perlahan 1.4 peratus pada bulan Mac 2024 berbanding 2.3 peratus pada Februari, di mana kenaikan yang lebih rendah telah dicatatkan oleh item perbelanjaan susu segar sebanyak 2.4 peratus

Loading...
Terkini