comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan sasar 98 peratus liputan air bersih luar bandar akhir 2025

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyasarkan untuk mencapai 98 peratus liputan air bersih dan pembetungan di kawasan luar bandar menjelang akhir 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata sehingga 2023, liputan akses bekalan air bandar dan luar bandar masing-masing berada pada 97.1 peratus manakala perkhidmatan pembetungan meliputi 84.4 peratus di bandar utama.

Beliau yang juga Menteri PETRA berkata, inisiatif itu selaras dengan objektif utama Malaysia MADANI untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat sambil menyokong matlamat keenqam Pembangunan Mampan Matlamat (SDG 6) iaitu memastikan akses kepada pengurusan air yang mampan dan sanitasi untuk semua.

“Dalam usaha untuk mencapai sasaran berkenaan, kami akan memberi tumpuan kepada empat inisiatif utama untuk menangani cabaran yang dihadapi dalam industri air kita.

“Pertama, kita mesti menjamin masa depan air yang boleh dipercayai dengan perancangan strategik dan membangunkan infrastruktur air. Selain daripada perancangan infrastruktur air yang sistematik, inisiatif lain oleh kementerian termasuklah melihat langkah alternatif untuk menyokong objektif dalam menyediakan bekalan dan sumber air yang berterusan dan mencukupi, seperti sistem takungan air (ORS) dan penggunaan air tebus guna untuk tujuan industri.

“Kedua, kita mesti menangani kemampanan kewangan pengendali air. Industri air yang sihat memerlukan pengendali yang sihat. Kami akan berusaha untuk mewujudkan kestabilan kewangan jangka panjang, membolehkan pelaburan berterusan dalam peningkatan infrastruktur yang kritikal,” katanya pada majlis pembukaan ASIAWATER 2024 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Yang turut hadir Penasihat ASIAWATER 2024, Datuk Teo Yen Hua dan Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Mohmad Asari Daud.

Pada tahun ini, ASIAWATER menetapkan pencapaian baharu dengan lebih 1,000 jenama dan syarikat untuk mempamerkan teknologi, penyelesaian, produk dan perkhidmatan terkini.

Pameran itu menggariskan pelbagai keperluan air, memastikan peserta menemui alatan yang diperlukan untuk membina masa depan air yang berdaya tahan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, terdapat keperluan mendesak untuk mengoptimumkan operasi di seluruh industri air.

“Ini bermakna menggunakan sumber kita dengan lebih cekap, meminimumkan pembaziran, dan memaksimumkan nilai yang kita dapat daripada setiap titisan air.

“Oleh itu, pelaksanaan Program Air Bukan Hasil (NRW) Negara akan dipertingkatkan untuk mengurangkan lagi peratusan NRW kepada 31 peratus menjelang 2025 sejajar dengan sasaran negara kita,” katanya.

Sementara itu, Akmal ketika ditemui media selepas perasmian berkata, PETRA akan memberi tumpuan kepada empat negeri iaitu Kelantan, Kedah, Perlis dan Pahang yang mempunyai kadar NRW paling tinggi ketika ini.

“Memang komitmen kerajaan pusat untuk membantu negeri-negeri ini untuk terus mengurangkan NRW pada masa akan datang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini