comscore
Tumpuan :
Sukan

Terjun: ‘Projek 450’ sandaran skuad terjun menang pingat di Olimpik Los Angeles 2028

Kem terjun negara merancang peningkatan kesukaran terjunan dan penetapan sasaran markah minimum dalam tempoh empat tahun kehadapan.

PUTRAJAYA: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) tampil dengan formula baharu demi menuai pingat di temasya olimpik seterusnya.

Pengarah Teknikal (terjun), Bryan Nickson Lomas menjelaskan, pihaknya membentangkan penekanan kepada markah yang perlu dilakukan oleh penerjun negara semasa Bengkel Fast Track Los Angeles 2028 selama tiga hari yang berakhir siang tadi.

“Apa yang kita nak cuba baiki ialah nak buat projek 450 punya catatan lah, sebab matlamat utamanya ialah dapatkan pingat di Sukan Olimpik jadi, tempat ketiga perlu ada sekitar 450 mata atau 440 ke 460 lah.” kata Bryan yang turut merupakan bekas penerjun negara.

Ia boleh dimulakan selepas Sukan Olimpik 2024 berakhir dengan atlet negara disasarkan mempelajari banyak jenis terjunan secara berperingkat.

“Tahun depan belajar 1-2 terjunan dahulu, tahun seterusnya belajar satu lagi dan selepas itu cuba kekalkan terjunan tersebut lah untuk dapatkan mata yang kita mahukan. Markah itu pun berperingkat juga, di Kejuaraan Dunia Singapura 2025 sasar 400 mata, selepas tu 420 mata di Sukan Asia dan Sukan Komanwel, jadi akan meningkat perlahan-lahanlah.” tambahnya lagi.

Ketika ini dua atlet mereka iaitu Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold yang diserapkan dalam program berkenaan.

Namun MAS mahu membuat pembaharuan, sesiapa sahaja penerjun yang layak dan mencapai kriteria mata tersebut bakal diberi tempat ke mewakili negara.

Dalam soal latihan luar negara pula, pihaknya turut sedang memperhalusi negara lain sebagai alternatif tambahan selain China yang dilakukan sebelum ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini