comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia sedia patuhi EUDR, pastikan kemampanan industri sawit

Datuk Seri Johari ditemui media selepas APC 2023 MTIB hari ini.- Foto: NSTP

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Malaysia sedia mematuhi Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) bagi memastikan kemampanan industri sawit negara untuk masa hadapan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ini dengan melaksanakan empat elemen utama EUDR yang juga perlu diterapkan dalam pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Malaysia komited untuk patuhi keperluan daripada EU ini dan kita beritahu dia (Pesuruhjaya EU, Virginijus Sinkevičius) walaupun mereka belum bersedia untuk melaksana EUDR ini, tetapi kita akan meneruskan, untuk pastikan industri kita patuh dengan empat syarat itu.

“Pertama bebas penebangan hutan, kemudian kita mahu pastikan kita kebolehkesanan, mereka boleh mengesan kelapa sawit ini datang dari kilang mana, ladang mana, estet mana.

“Kemudian kita mahu pastikan semua kawasan yang kita tanam kelapa sawit mesti ada hak milik tanah yang sah. Bila ada title (hak milik) baru kita tahu ia bukan hutan yang dinyahkan. Akhir sekali kita juga pastikan bahawa kita tidak mahu lagi orang menuduh negara kita tidak melihat penjagaan buruh, pekerja kita. Jadi kita kena pastikan MSPO masuk elemen ini supaya semua orang patuhi dengan kriteria ILO, ada 11 kriteria,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC 2023) Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 hari ini.

Semalam, Datuk Seri Johari bersidang secara maya bersama Pesuruhjaya EU bagi Alam Sekitar dan Perikanan, Virginijus Sinkevičius yang membincangkan EUDR dan peranan MSPO.

Sinkevičius turut memuji usaha Malaysia untuk menurunkan tahap penebangan hutan ke paras rendah yang belum pernah berlaku sebelum ini serta mengiktiraf komitmen negara terhadap pengeluaran komoditi mampan yang diperakui.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini