comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelaburan CGS bukti hubungan dagangan mendalam Malaysia-China

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Operasi dan pelaburan berterusan CGS International Securities Pte Ltd di Malaysia menandakan hubungan perdagangan Malaysia-China yang semakin mendalam, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Beliau berkata, 50 tahun pertama hubungan Malaysia-China telah menjadi saksi kepada banyak kejayaan kedua-dua negara.

Justeru, katanya, trajektori masa depan hubungan Kuala Lumpur-Beijing bergantung pada pembabitan berterusan dan usaha untuk menggalakkan pembangunan mampan dan kemakmuran bagi kedua-dua negara.

“Kami mengharapkan inovasi yang lebih besar daripada kumpulan dan akses serantau yang maju memandangkan CGS International berfungsi sebagai perhubungan dan pintu masuk untuk bukan saja pelabur China dan antarabangsa yang ingin melabur dan/atau beroperasi di Malaysia tetapi juga untuk pelabur dan syarikat Malaysia yang meninjau peluang besar di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran penjenamaan semula CGS International Securities Malaysia (CGS MY) di sini, hari ini.

Penjenamaan semula CGS MY yang menampilkan nama korporat dan logo baharu itu susulan pengambilalihan 100 peratus kepentingan CGS-CIMB Securities (Malaysia) oleh China Galaxy Securities (CGS) pada 29 Disember 2023.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, Malaysia telah dan terus menjadi peneraju global dalam kewangan Islam dan sukuk.

Beliau berkata, rangka kerja kawal selia dan ekosistem yang mantap meletakkan Malaysia di hadapan semua pusat kewangan di seluruh dunia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGS MY, Azizah Mohd Yatim, berkata syarikat itu bersedia untuk pertumbuhan selanjutnya dengan memanfaatkan keupayaan meluas kumpulan.

Beliau berkata, dengan adanya dua lesen baharu iaitu pengurusan aset dan kewangan korporat membolehkan CGS MY meningkatkan pendapatan menuju ke depan dan menjadi peneraju utama dalam sektor perkhidmatan kewangan yang kompetitif.

Katanya, CGS MY juga bercadang untuk mengembangkan perniagaan ekuiti swasta (PE) dan modal teroka (VC) berpotensi berkembang kukuh pada masa depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini