comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pertimbang ambil graduan TVET capai keberkesanan gaji premium

Steven Sim Chee Keong menyerah kenderaan EV oleh Autotronics Center of Excellence Sdn Bhd kepada ADTEC Melaka, pada Isnin.

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertimbangkan pengambilan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sedia ada di pasaran ketika ini dalam usaha mencapai keberkesanan penetapan gaji premium pada kadar RM4,000.

Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P Sri Ganes berkata, beliau mengalu-alukan cadangan kerajaan baru-baru ini untuk mengkaji penetapan gaji premium itu sebagai usaha mengiktiraf mereka.

“Namun kerajaan perlu meneliti beberapa ketetapan sebelum membuat sebarang keputusan drastik. Kita kena melihat perkara ini secara mendalam kerana terdapat baik buruknya (cadangan ini).

“Dari segi kebaikannya, TVET yang sebelum ini dianggap sebagai pilihan kedua akan menjadi rebutan sebagai satu program atau laluan utama kepada golongan muda.

“Namun dari segi pelaksanaannya, langkah ini akan membebankan pemain industri, graduan dan juga institusi kerajaan. Ini kerana apabila industri ditetapkan untuk membayar gaji premium, maka harapan yang diletakkan majikan ke atas graduan adalah berdasarkan gaji yang dibayar.

“Jadi dalam konteks ini, peralatan di institusi-institusi latihan kerajaan perlu ditambahbaik dan penambahbaikan ini memerlukan kepakaran tenaga mahir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani papan tanda dan penyerahan kenderaan EV oleh Autotronics Center of Excellence Sdn Bhd kepada ADTEC Melaka dan majlis penyerahan Malaysia Book of Records kepada Autotronic Center of Excellence Sdn Bhd sebagai Pusat Penilaian Amali (PPA) Pertama bagi kereta elektrik bateri (BEV) di Malaysia.

Majlis yang disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Shakib Ahmad Shakir dan Pengarah ADTEC Melaka, Dr Norhuda Salim.Autotronic Center of Excellence juga mencatat sejarah baharu dalam bidang TVET apabila dianugerahkan sebagai Akademi TVET pertama di Melaka dengan persijilan EV dengan kerjasama ADTEC.

Dalam pada itu, Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SG Education Group menjelaskan kerjasama awam swasta (PPP) penting dalam memastikan visi untuk mencapai gaji premium RM4,000 dapat dicapai dalam masa terdekat.

Ini kerana katanya tanpa sokongan dari industri, pelaksanaan TVET tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh dengan impak yang tinggi.Menurutnya, negara tidak mempunyai masa panjang untuk menghasilkan tenaga pakar.Justeru katanya, kerajaan perlu mengambil tenaga sedia ada atau graduan TVET dalam pasaran ketika ini untuk meningkatkan kemahiran.

“Oleh itu, graduan sedia ada menjadi tonggak yang dapat membantu kerajaan membangunkan sumber tenaga manusia kepada industri,” katanya.

Sri Ganes memberitahu, negara mungkin akan berdepan dengan dua cabaran utama untuk mencari bakat dalam sektor-sektor teknologi baharu.

“Sekiranya pelabur asing melabur di Malaysia, kita memerlukan bakat sedia ada yang bersesuaian dengan keperluan sektor berkaitan. Ini kerana kita tidak boleh mengambil masa panjang memandangkan mereka memerlukan ‘readily available talents’ untuk meningkatkan kemahiran.

“Jadi dalam konteks ini, kerjasama PPP penting kerana adalah sukar kedua-dua entiti ini bergerak secara ‘standalone business’.

“Maka satu kerjasama perlu dengan pembiayaan dan kemahiran yang merangkumi pengurusan, penyenggaraan, infrastruktur, peralatan dan kemudahan yang diuruskan bersama sebagai satu pakej,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini