comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit alami pemulihan teknikal, kembali mengukuh berbanding dolar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga Rabu dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mencatat pemulihan teknikal selepas susut selama tiga hari berturut-turut, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit mencecah paras 4.7910/7950 berbanding dolar AS daripada 4.7945/7970 yang dicatatkan semalam.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit meningkat sedikit hari ini, seiring penurunan kecil Indeks Dolar AS (DXY) sebanyak 0.10 peratus kepada 106.153 mata.

“Selain elemen pembetulan teknikal, prospek kadar faedah di AS dan ketegangan di Timur Tengah akan menjadi penentu sentimen pasaran dalam pasaran tukaran asing,” katanya.

Beliau juga menyifatkan ketidaktentuan berkaitan prospek kadar faedah AS akan turut menjadi faktor pendorong sentimen positif terhadap mata wang negara maju itu.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata peningkatan ringgit pada hari ini agak terbatas berikutan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell yang cenderung terhadap kenaikan kadar faedah pada sesi perbincangan panel Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) malam tadi.

Ulasan Powell membayangkan bahawa Fed akan lebih bersabar dalam usaha melaksanakan kenaikan kadar faedah berikutan tekanan inflasi berterusan serta daya tahan ekonomi AS.

“Pendirian sedemikian sebaliknya hanya meningkatkan lagi hasil Perbendaharaan AS sekitar paras lima peratus, sekali gus mengehadkan kenaikan tukaran asing Asia,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit kebanyakannya diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit rendah berbanding euro kepada 5.0981/1024 daripada 5.0966/0992, susut sedikit berbanding pound Britain kepada 5.9720/9770 daripada 5.9701/9732 namun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0990/1018 daripada 3.1020/1038 semalam.

Unit tempatan itu diniagakan kebanyakannya meningkat berbanding mata wang Asean termasuk mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0194/13.0373 daripada 13.0858/13.0983, semalam.

Ringgit juga naik berbanding rupiah Indonesia kepada 295.3/295.7 daripada 296.3/296.6 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.37/8.39 daripada 8.41/8.42 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5171/5200 daripada 3.5135/5156, sebelum ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini