comscore
Tumpuan :
Dunia

Kapal angkasa China selamat mendarat di ‘istana syurga’

Roket pengangkut Long March-2F yang membawa kapal angkasa Shenzhou-18 berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan untuk misi kru ke stesen angkasa Tiangong China, berhampiran Jiuquan, wilayah Gansu, China. – FOTO: Reuters

JIUQUAN: Sebuah kapal angkasa yang membawa tiga angkasawan dari misi Shenzhou-18 China selamat mendarat di stesen angkasa Tiangong, hari ini.

Misi terbaru itu adalah salah satu program angkasa lepas Beijing, China yang bertujuan menghantar angkasawan ke bulan menjelang 2030.

Anak kapal berkenaan berlepas dengan kapsul di atas roket Long March-2F dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, jam 8.59 malam waktu tempatan, semalam.

Menjelang awal pagi tadi, kapal angkasa itu ‘berjaya mendarat’ di stesen angkasa, lapor agensi berita kerajaan Xinhua, memetik Agensi Angkasa Lepas China.

Misi itu diketuai juruterbang pejuang dan angkasawan, Ye Guangfu, yang sebelum ini adalah sebahagian daripada kru Shenzhou-13 pada 2021.

Beliau disertai oleh angkasawan Li Cong dan Li Guangsu, yang pertama kali menuju ke angkasa lepas.

Xinhua berkata pelancaran itu diisytiharkan sebagai ‘berjaya sepenuhnya’ dan angkasawan akan tinggal di stesen angkasa Tiangong selama enam bulan.

Di sana, mereka akan menjalankan ujikaji dalam bidang fizik asas mikrograviti, sains bahan angkasa, sains hayat angkasa, perubatan angkasa dan teknologi angkasa.

Mereka juga akan mencuba membela ikan dalam graviti sifar, selain menjalankan eksperimen ke atas ‘lalat buah dan tikus’ menurut Xinhua.

Kru baharu itu akan menggantikan pasukan Shenzhou-17, yang dihantar ke stesen itu pada Oktober lalu, di bawah rancangan ‘impian angkasa lepas’ China yang dipergiat di bawah Presiden Xi Jinping.

Ekonomi kedua terbesar di dunia itu membelanjakan berbilion dolar dalam program angkasa lepas kendalian tenteranya yang berhasrat menghantar misi kru ke bulan menjelang 2030, dan merancang untuk membina pangkalan di permukaan bulan.

China dikecualikan daripada Stesen Angkasa Antarabangsa sejak 2011, apabila AS melarang Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) daripada membabitkan diri dengan negara itu.

Tindakan itu mendorong Beijing untuk membangunkan pos orbitnya sendiri, Stesen Tiangong, yang bermaksud ‘istana syurga’, yang menjadi ‘permata’ program angkasa lepas China selepas berjaya mendaratkan rover robotik di Marikh dan Bulan.

Ia menjadikan China negara ketiga yang secara bebas meletakkan manusia di orbit.

Tiangong dijangka kekal di orbit Bumi antara 400 dan 450 kilometer (km) di atas planet selama sekurang-kurangnya 10 tahun. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini