comscore
Tumpuan :
Dunia

Michelle Yeoh bakal terima penghormatan tertinggi Amerika Syarikat

NEW YORK: Pelakon kelahiran Malaysia yang menempa kemasyhuran di persada Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh dilapor bakal menerima penghormatan tertinggi Amerika Syarikat (AS).

Penerima trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi (Oscar) yang bakal meraikan ulang tahun kelahiran ke-62 Ogos depan itu akan dianugerahkan Pingat Kebebasan Presiden oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pada majlis rasmi di White House, 3 Mei depan.

Media tempatan melaporkan, aktres itu dipilih sebagai penerima penghormatan tertinggi AS selepas Biden mengiktiraf individu yang banyak menyumbang dan berjasa kepada keselamatan atau kepentingan AS, keamanan dunia, kebudayaan atau lain-lain usaha penting.

Sebelum ini, antara personaliti yang pernah menerima pingat sama termasuk Mother Teresa, John F Kennedy, Bill Clinton, Stephen Hawking, Sidney Poitier, Yo-Yo Ma, Steven Spielberg, Oprah Winfrey, Steve Jobs, Audrey Hepburn, Henry Kissinger, Dr Martin Luther King Jr, Neil Armstrong, Jacques Cousteau, Duke Ellington, Tiger Woods dan Rosa Parks.

Yeoh telah membintangi banyak filem terbitan Hollywood dan sebilangan besar meraih kejayaan di peringkat global seperti Tomorrow Never Dies, Crouching Tiger, Hidden Dragon, Memoirs Of A Geisha, Mummy 3, Everything Everywhere All at Once dan The Lady.

Bagaimanapun, Yeoh belum mengesahkan kehadiran ke majlis berkenaan berikutan terikat dengan pelbagai komitmen dan jadual padat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini