comscore
Tumpuan :
Dunia

Misi pelayaran ‘Freedom Flotilla to Gaza’ ditangguh lagi

Kapal penumpang, Akdeniz, yang menyertai misi Gabungan Freedom Flotilla (FFC), ketika berlabuh di pelabuhan Tuzla, dekat Istanbul, Turkiye.- Foto AGENSI

ISTANBUL: Misi pelayaran ‘Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza’ sekali lagi ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Gabungan Freedom Flotilla (FFC), dalam kenyataannya mengumumkan, penangguhan berpunca daripada kekacauan dilakukan rejim Israel yang terus-menerus mahu menghalang pergerakan kapal-kapal terbabit dalam misi kali ini.

FFC mendakwa, rejim Zionis sedang memberi tekanan hebat kepada Republik Guinea Bissau untuk menarik balik benderanya daripada kapal utama yang digunakan dalam misi ini, Akdeniz.

“Hari ini kami menerima maklumat mengenai halangan terbaharu oleh Israel dalam cubaan untuk menghalang keberangkatan kami.

“Israel sedang menekan Republik Guinea Bissau untuk menarik balik benderanya dari kapal utama kami, Akdeniz (Mediterranean), kapal penumpang yang menyertai misi ini,” menurut kenyataan itu.

Sekiranya Republik Guinea Bissau akur, maka kapal penumpang Akdeniz tidak boleh memulakan pelayaran kerana mengikut undang-undang, sepanjang pelayaran setiap kapal yang memasuki perairan antarabangsa perlu mengibarkan bendera negara di mana kapal itu didaftarkan.

Berhubung tekanan itu, FFC berkata kerajaan Republik Guinea Bissau pula bertindak mengarahkan satu pemeriksaan menyeluruh terhadap kapal penumpang berkenaan dijalankan.

“Ini mencetuskan permintaan untuk pemeriksaan tambahan, kali ini oleh Republik Guinea Bissau, yang menyebabkan keberangkatan kami yang dirancang pada 26 April terpaksa ditangguh.

“Ini antara contoh halangan yang sengaja dilakukan Israel terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza dan ini bukan kali pertama rejim Zionis cuba melakukannya,” tambah kenyataan itu lagi.

Malah, sudah berlaku beberapa kekacauan dilakukan sebelum ini, namun ia dapat diatasi sebaiknya oleh pihak FFC, yang sedang bekerja keras untuk mengatasi cubaan terbaharu ini.

“Kapal kami telah lulus semua pemeriksaan yang diperlukan dan kami yakin Akdeniz akan lulus pemeriksaan ini asalkan tidak ada campur tangan politik.

“Untuk itu, kami menjangkakan perkara ini akan dapat diatasi dalam tempoh beberapa hari mendatang dan mereka perlu tahu bahawa cubaan seperti ini tidak akan mematahkan tekad kami membantu penduduk di Gaza,” katanya.

Pada Khamis, Jawatankuasa Pemandu FFC, Zohar Chamberlain-Regev, mengesahkan sudah melengkapkan segala keperluan bagi membolehkan misi pelayaran ‘Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza’ yang dijadualkan pada hari ini dapat disempurnakan. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini