comscore
Tumpuan :
Dunia

Norway gesa penyambungan semula pembiayaan UNRWA

OSLO: Norway, selaku pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Ad Hoc (AHLC), kumpulan penderma antarabangsa untuk Palestin, menggesa negara yang telah menghentikan pembayaran kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) untuk meneruskan pembiayaan mereka.

Dalam kenyataan pada Selasa, Menteri Hal Ehwal Luar Norway Espen Barth Eide mengalu-alukan hasil kajian bebas mengenai UNRWA, lapor agensi berita Palestin, WAFA.

“Saya mengalu-alukan laporan Suruhanjaya Siasatan Bebas, yang dipengerusikan oleh bekas Menteri Luar Perancis Catherine Colonna, mengenai pengendalian UNRWA terhadap isu berkecuali,” kata Menteri Eide.

“Saya gembira bahawa laporan itu menggariskan bahawa UNRWA mempunyai prosedur yang baik untuk memastikan berkecuali dan organisasi itu berfungsi selaras dengan prinsip kemanusiaan,” katanya.

“Saya sangat gembira negara seperti Australia, Kanada, Finland, Jerman, Iceland, Jepun dan Sweden telah membatalkan keputusan mereka dan menyambung semula pembiayaan kepada UNRWA,” kata Eide dalam satu kenyataan, menggesa penderma yang telah menggantung sumbangan mereka kepada agensi bantuan PBB untuk meneruskan pembiayaan mereka.

Norway adalah satu daripada beberapa penderma utama yang mengekalkan pembiayaannya kepada UNRWA walaupun terdapat dakwaan yang dibuat oleh Israel terhadap agensi PBB itu.

UNRWA adalah talian hayat bagi 2.3 juta penduduk Gaza, yang hidup di bawah pencerobohan dan kemusnahan yang kejam selama lebih daripada enam bulan. – BERNAMA-WAFA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini