comscore
Tumpuan :
Jenayah

5 pelajar Tingkatan Lima ditahan polis kerana belasah junior di asrama

Foto hiasan

 

MUKAH: Lima pelajar lelaki Tingkatan Lima ditahan polis kerana disyaki membuli seorang junior di asrama sekolah menengah di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, berkata pihaknya menerima laporan kes itu pada 27 Mac lalu.

“Kejadian pertama berlaku dalam bilik asrama lelaki pada 25 Mac sekitar jam 9.30 malam apabila mangsa yang juga pelajar Tingkatan Dua dicederakan di bahagian dada dan belakang badan oleh beberapa pelajar senior.

“Dalam kejadian itu, suspek menuduh mangsa menghilangkan seluar mereka yang dibasuh oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Rizal berkata, kejadian kedua berlaku pada 26 Mac lalu sekitar jam 9.30 malam di tempat sama, mangsa sekali lagi dicederakan secara fizikal di bahagian dada, perut dan kemaluan.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Bintulu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut sehingga semalam.

“Lima suspek berusia 17 tahun ditahan bersabit kes ini yang disiasat mengikut Seksyen 506, 377CA dan 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, kesemua suspek direman selama empat hari bagi melengkapkan siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

“Polis akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dengan kes buli ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini