comscore
Tumpuan :
Jenayah

‘Belum ada tanda positif dalam kes wang BAP lesap’

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi ketika sidang media tangkapan dan rampasan rokok disyaki tidak bercukai kastam dalam Op Kontraban yang beranggaran RM10.5 juta di IPD Sungai Buloh. NSTP

SUNGAI BULOH: Polis sudah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan kehilangan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan kepada sebuah sekolah rendah dekat Beranang, di sini, pada Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, berkata tiga individu terdiri daripada dua guru sekolah rendah terbabit termasuk guru besarnya dan seorang pekerja restoran.

“Siasatan teliti dijalankan secara menyeluruh termasuk kemungkinan wujud elemen ‘orang dalam’. Polis juga akan memanggil pihak bank untuk membantu siasatan.

“Kita juga meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di sekitar tempat kejadian. Setakat ini masih belum ada tanda positif,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Terdahulu, BH melaporkan BAP berjumlah RM109,000 yang dikeluarkan guru besar berkenaan dari sebuah bank di kawasan Kampung Baru, Semenyih, dilarikan penjenayah pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, dilaporkan berkata maklumat kejadian itu diterima pada jam 12.17 tengah hari.

Katanya, guru berusia 50 tahun itu mengeluarkan wang BAP yang sepatutnya akan diagihkan kepada pelajarnya pada Selasa lalu tanpa ditemani orang lain atau polis pengiring.

Beliau berkata, selepas dikeluarkan dari bank, wang terbabit diletakkan dalam dalam sebuah beg, sebelum ditinggalkan dalam kenderaan jenis Toyota Innova dipandunya, ketika singgah membeli minuman.

“Hampir 10 minit apabila kembali ke kenderaan, guru besar itu mendapati cermin keretanya dipecahkan di bahagian kanan penumpang belakang, dan beg yang berisi wang tunai dicuri,” katanya. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini