comscore
Tumpuan :
Jenayah

Gagal isytihar muatan, juragan bawa bot kargo ditahan 

Oleh: Safwan Sawi

TAWAU: Juragan ditahan selepas didapati membawa pelbagai barang kawalan disyaki tanpa dokumen pengisytiharaan di kedudukan 0.4 batu nautika selatan Jeti CIQ Tawau, semalam.

 

Suspek warga tempatan berusia 37 tahun itu ditahan oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau menerusi Op Khas Pagar Laut dan Op Tiris, kira-kira jam 1.15 petang.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai aktiviti pemunggahan barangan runcit di kawasan Jeti CIQ Tawau.

Katanya, bot peronda APMM diaturgerak untuk menjalankan pemeriksaan dan menemukan sebuah bot sarat dengan muatan barang runcit.

Foto APMM Zon Maritim Tawau

“Pemeriksaan ke atas bot berkenaan, menemukan 200 kilogram beras, 10 kotak minyak masak, 204 kilogram gula pasir, tiga gelen petrol dan tiga tong gas LPG disyaki untuk pasaran di Pulau Sebatik.

“Juragan bot terbabit turut gagal mengemukakan dokumen pengisytiharaan kastam berkaitan barangan yang dibawa dan tidak mempunyai lesen runcit beras,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, juragan, bot serta muatan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

“Semua barangan termasuk bot kargo, enjin dan barang kawalan berkenaan disita, manakala nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM27,000,” katanya.

Katanya, modus operandi peniaga membawa barangan runcit dalam kuantiti yang kecil secara berulang perlu dibanteras bagi mengelak sindiket penyeludupan membawa barang kawalan ke negara jiran.

Shahrizan berkata, penguatkuasaaan akan terus diperkasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau.

“APMM memandang serius segala aktiviti jenayah rentas sempadan. Aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa bagi menghadapi sebarang situasi.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini