comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis buru dalang kes samun

Suspek yang dikehendaki polis bagi tujuan siasatan yang dikenali sebagai ‘Balan’ atau nama sebenarnya Ambigaibalan A/L Govindarajoo. – FOTO: NSTP

PORT DICKSON: Menyamar sebagai polis untuk memperdaya sebelum menyamun mangsa.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihak polis menerima aduan mangsa seorang lelaki berusia sekitar 30-an pada 22 Mac, jam 9 malam lalu mengatakan disamun oleh suspek dua lelaki semasa di kawasan PD Utama, Port Dickson.

“Menurut mangsa, kejadian berlaku pada 22 Mac lalu, jam sekitar 4.30 petang semasa mangsa bersama rakan sedang menunggu seorang lelaki India dalam urusan pelaburan matawang.

“Ketika itu, mangsa didatangi dua suspek lelaki dipercayai berbangsa Melayu anggaran usia sekitar 30 hingga 40 an yang memperkenalkan diri sebagai polis dan mengarahkan untuk mangsa mengikut suspek ke Balai,” katanya dalam satu kenyataan media di sini tadi.

Katanya, suspek kemudian membawa mangsa menaiki kenderaan milik mangsa ke arah Pasir Panjang.

“Sepanjang perjalanan, mangsa diikat dan mata juga ditutup dengan menggunakan pita pelekat.
“Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kerugian anggaran sebanyak RM10,000 membabitkan telefon bimbit dan komputer riba,” ujarnya.

Aidi Sham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Bertindak dari laporan ini, pihak polis berjaya menahan dua lelaki Melayu di sekitar Port Dickson bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut dapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian saringan air kencing dapati negatif.

“Siasatan lanjut juga mendedahkan penglibatan seorang lelaki India yang dikenali dengan panggilan ‘Balan’ yang masih bebas,” katanya.

Tambahnya, kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan.

“Arahan pertuduhan ke atas kedua-dua OKT (Orang Kena Tuduh) di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 KK serta yang masih bebas.

“Kedua-dua lelaki (OKT) itu akan dibawa ke Mahkamah Port Dickson untuk pertuduhan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Aidi Sham berkata, pihak polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan suspek yang masih bebas boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Muhammad Ihsan Abd Samad di talian 013-3675257 atau Hotline IPD Port Dickson 06-646 2999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan bagi membantu kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini