comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelaku pencemaran air Sungai Linggi diburu pihak berkuasa air Negeri Sembilan

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang bertanggungjawab melakukan pencemaran di Sungai Linggi, Port Dickson, dekat sini, sehingga menjejaskan urusan harian ribuan penduduk di Port Dickson, Seremban dan Rembau.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya memandang serius aktiviti yang membabitkan kesan negatif kepada penduduk setempat yang berlaku pada Sabtu lalu.

“Kita (kerajaan negeri) kesal dengan kejadian pencemaran air di Sungai Linggi dan pihak berkuasa berkaitan tidak akan berdiam diri dan sedang berusaha memburu pelaku pencemaran sungai berkenaan.

 

“Tindakan tegas akan diambil kerana menyusahkan ribuan pengguna air di daerah Port Dickson serta beberapa kawasan penempatan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kejadian berkenaan, Aminuddin berkata, Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) menerima aduan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi daripada pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) pada jam 8.40 malam Sabtu lalu, selepas pihak berkenaan memaklumkan terdapat bau minyak dikesan di sungai berkenaan menyebabkan operasi LRA terbabit ditutup.

Katanya, pihak SAINS memulakan siasatan berdasarkan sumber yang diperoleh selepas menerima laporan berlaku tumpahan minyak yang dilakukan oleh suspek bertujuan menghapuskan bahan bukti di stor simpanan di Seremban 2.

“Operasi LRA Linggi masih tidak dapat diteruskan semula pada jam 10 pagi keesokannya (Ahad) kerana masih berbau minyak dan SAINS menggerakkan bantuan air melalui lori tangki serta meletakkan tangki statik di kawasan terjejas.

“LRA Linggi dapat kembali beroperasi pada jam 2 petang Ahad lalu dan bekalan air secara berperingkat pulih sebelum air dapat disalurkan semula sepenuhnya beberapa jam kemudiannya.

“Pada jam 2.40 petang hari yang sama, BKSA menemui lokasi kejadian dan siasatan diteruskan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Air Negara (SPAN) dan SAINS,” katanya.

Ia kejadian kedua dalam tempoh sebulan membabitkan pencemaran air di LRA Sungai Linggi selepas 7 November lalu, selepas terdapat aduan berkaitan di muka sauk berbau diesel.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini