comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis buru dua penjenayah berparang larikan peti duit

Tangkap layar video tular dua suspek memakai topi keledar yang melarikan peti duit sebuah kedai di Kapar. – FOTO TULAR

KLANG: Polis Klang Utara giat memburu dua penjenayah bersenjatakan parang yang melarikan peti duit sebuah kedai dalam satu kejadian samun di Jalan Raja Mokhtar 4, Kapar, di sini Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan dari pemilik kedai pada hari kejadian iaitu 26 Februari lalu namun video berkenaan tular di media sosial semalam.

“Polis menerima aduan berhubung kes samun bersenjatkan parang di sebuah kedai pada jam 11.48 malam, 26 Februari lalu, tetapi kejadian itu tular di media sosial baru-baru ini.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika pekerja di kedai terbabit dalam persiapan untuk menutup operasi kedai kira-kira jam 9.30 malam.

“Secara tiba-tiba mereka didatangi dua lelaki bersenjata sebilah parang, memakai topi keledar dengan menarik motosikal jenis Modenas Dinamik.

“Kedua-dua suspek masuk ke dalam premis serta melarikan peti duit di kaunter bayaran serta telefon bimbit salah seorang pekerja di kaunter bayaran kedai itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vijaya Rao yang mengesahkan kejadian tular itu berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan lanjut serta usaha memburu suspek terbabit giat dijalankan.

“Siasatan mendapati, kedai terbabit mengalami kerugian lebih RM2,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun juga dikenakan sebatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini, diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspector Mohd Fazlan Rezza Mazlan (011-10561017) atau IPD Klang Utara (03-32912222) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Loading...
Terkini