comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ahli perniagaan didakwa pecah amanah, tipu, salah guna harta syarikat RM13.4 juta

Chan Eng Leong, 50, hadir di Mahkamah Butterworth, atas enam pertuduhan berkaitan menipu, pecah amanah dan menyalahgunakan harta syarikat membabitkan nilai hampir RM13.4 juta, lima tahun lalu – FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap enam pertuduhan menipu, pecah amanah dan menyalahgunakan harta syarikat membabitkan nilai hampir RM13.4 juta, lima tahun lalu.

Tertuduh, Chan Eng Leong, 50 membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan satu hingga tiga, tertuduh didakwa menipu pengarah syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn Bhd dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan datang membuat serbuan serta rampasan dan sita wang tunai di bawah Akta Pencegahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Penguatkuasaan itu kononnya berhubung siasatan kes cukai eksais rokok cerut yang tertuduh maklumkan kepada mangsa boleh diselesaikan bersama pihak JKDM hingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah hampir RM11 juta.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Berjaya Indah dan Jalan Bukit Teh, Machang Bubok dalam daerah Seberang Perai Tengah, antara 11 April 2019 hingga 21 November 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun serta sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika disabitkan.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 409 dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan keempat hingga enam kerana melakukan pecah amanah dan menyalahgunakan harta syarikat sama membabitkan nilai RM2.4 juta antara 1 Oktober 2019 hingga 3 Oktober 2019 di Jalan Bukit Teh, Machang Bubok.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muna Mohamed Jaafar yang memohon tertuduh dikenakan jaminan secara kumulatif bernilai RM200,000.

Peguam RSN Rayer yang mewakili Chan kemudian merayu jaminan lebih rendah mengambil kira anak guamnya memberi kerjasama yang sangat baik, malah pernah dihadapkan ke mahkamah pada 2021 atas pertuduhan sama sebelum kes itu dilepas tanpa dibebaskan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 10 Mei depan untuk sebutan semula bagi pengurusan kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini