comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes saman bekas CEO Sapura Energy terhadap Rafizi selesai secara baik

 

Rafizi Ramli (kiri) dan Tan Sri Shahril Shamsuddin.

KUALA LUMPUR: Kes saman bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Energy Bhd (SEB), Tan Sri Shahril Shamsuddin, terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli telah diselesaikan menerusi proses mediasi.

Shahril memfailkan saman terhadap Rafizi pada Mei 2022 berikutan kenyataan Timbalan Presiden PKR itu dalam tiga artikel yang disiarkan di akaun media sosialnya antara 31 Mac hingga 4 April tahun sama.

Artikel itu sebagai reaksi terhadap kewajaran menggunakan dana awam untuk menyelamatkan syarikat itu seperti dicadangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu kerajaan menyuntik lebih banyak dana ke dalam SEB.

Rafizi berkata kedua-dua pihak bersetuju menyelesai kes saman itu yang tertakluk kepada tiga perkara termasuk beliau mengeluarkan kenyataan berkaitan daripada laman web ‘www.rafiziramli.com’ dan saluran media sosialnya yang lain.

Ia disusuli Shahril menarik balik saman fitnahnya terhadap Rafizi dan sebagai balasan menteri itu bersetuju tidak membuat sebarang kenyataan lanjut berhubung perkara berkaitan secara langsung atau tidak langsung.

 

“Pihak-pihak juga bersetuju sejumlah sumbangan disampaikan oleh plaintif (Shahril) kepada empat pertubuhan kebajikan sebagai muhibah bersama untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Rafizi berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk menumpukan masa dan usaha kepada ekonomi negara berbanding menghabiskan masa dengan proses undang-undang dalam tempoh panjang yang disifatkan sebagai tidak produktif.

“Pihak-pihak juga mengiktiraf bahawa SEB kini adalah GLC (syarikat berkaitan kerajaan), di mana PNB (Permodalan Nasional Bhd) adalah pemegang saham utama SEB.”

“Oleh itu, ada persetujuan untuk tidak memanjangkan isu ini dan SEB boleh menumpukan pada usaha transformasi serta aktiviti perniagaannya.”

“Pihak-pihak selanjutnya mengakui bahawa kenyataan dibuat Rafizi yang membawa kepada saman fitnah adalah sebagai tindak balas kepada kenyataan Najib.”

“Memandangkan Najib bukan lagi Perdana Menteri, diakui bahawa tiada keperluan untuk mempolitikkan lagi isu berkaitan SEB,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini