comscore
Tumpuan :
Nasional

2 anjing ‘Poodle’ dirampas kerana miliki nombor mikrocip mengelirukan

Anjing baka ‘Poodle’ dari China yang dirampas MAQIS Selangor hasil pemeriksaan dilakukan di MAQIS FCZ Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kargo, Sepang, Selangor. – FOTO: Ihsan MAQIS

KUALA LUMPUR: Dua anjing baka ‘Poodle’ dari China dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor Selasa lalu, kerana mempunyai identiti nombor mikrocip yang mengelirukan.

Pengarahnya, Mohd Sobri Md Hashim berkata, rampasan itu hasil pemeriksaan dijalankan pegawai penguat kuasa MAQIS di tapak pemeriksaan MAQIS FCZ Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kargo, Sepang, Selangor.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati nombor mikrocip yang diimbas pada badan anjing itu tidak sepadan dengan nombor mikrocip diikrar dalam permit import MAQIS.

“Keperluan pemeriksaan nombor mikrocip yang tepat adalah penting bagi memastikan haiwan yang masuk ke dalam negara adalah sama dengan identiti tertera dalam Sijil Kesihatan diluluskan dari negara asal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana mengisytiharkan maklumat mengelirukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini