comscore
Tumpuan :
Nasional

Budak lelaki terkunci 20 minit dalam kereta 

MELAKA: Seorang kanak-kanak berusia 8 tahun diselamatkan pasukan bomba selepas terkunci di dalam kereta milik ibunya kira-kira 20 minit dalam kejadian di Jalan Lagenda 1, Taman Lagenda, di sini, petang tadi.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Ismail Harun,  pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada ibu kanak-kanak itu pada jam 2.56 petang memaklumkan anak lelakinya terperangkap di dalam kereta yang terkunci.

Susulan itu katanya sepasukan sembilan anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dikejarkan ke lokasi bagi menyelamatkan mangsa.

Mohd Ismail berkata, sebaik tiba di lokasi enam minit kemudian, anggota PKO mendapati orang awam cuba membantu untuk membuka pintu kereta Honda Civic FD itu, namun gagal.

“Anggota bomba menggunakan alat khas dinamakan ‘spacer kit’ dan berjaya membuka pintu kereta terbabit dan mendapati kanak-kanak lelaki sedang tidur dan enjin kenderaan dalam keadaan hidup.

“Difahamkan kanak-kanak itu ditinggalkan oleh ibunya untuk pergi ke kedai berdekatan dan cemas apabila mendapati anaknya tertidur dipercayai akibat cuaca panas.

“Walaupun cuba mengejutkan anaknya termasuk dengan bantuan orang awam, pengadu kemudiannya menghubungi bantuan bomba ,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pasukan bomba mengambil masa lima minit untuk membuka pintu kereta berkenaan dan mendapati kanak-kanak lelaki itu sedang tidur serta tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada ibunya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini