comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Bukan hak dia buat adik saya macam itu’ – Kakak

Jenazah Muhammad Zaharif Affendi, 17, pelajar tingkatan lima yang maut selepas motosikal ditunggang remaja itu dilanggar kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, tengah hari tadi dibawa keluar dari Jabatan Forensik HRPB Ipoh, jam 6.30 petang untuk urusan pengebumian. – Foto: NSTP/Ihsan Pembaca

IPOH: “Kalau dia buat salah sekali pun, datanglah jumpa mak ayah saya. Kalau hendak letak di lokap pun tidak mengapa. Bukan hak dia buat adik saya macam itu,” kata Nur Zawani Muhd Zamrie, 28.

Nur Zawani adalah kakak kepada Muhammad Zaharif Affendi, 17, pelajar tingkatan lima yang maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, di sini, tengah hari tadi.

“Adik saya masih remaja dan baru hendak kenal dunia, lagi-lagi dia adalah anak bongsu dan kesayangan. Malah hanya dia seorang yang masih bersekolah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Menceritakan detik ketika berada di lokasi kejadian, Nur Zawani berkata, bapanya di samping seorang ustaz turut cuba bantu adiknya itu untuk mengucap selain dia sendiri sempat memangku adiknya bagi memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

“Ketika kejadian, saya berada berhampiran lokasi kemalangan dan terperanjat apabila diberitahu orang awam bahawa mangsa kemalangan itu itu adalah adik sendiri.

“Saya pangku dia, saya memang cuba selamatkan dia. Saya yang buat CPR masa mula-mula tiba di situ. Ketika itu adik masih bernyawa tetapi sudah tidak menunjukkan sebarang tindak balas,” katanya yang juga seorang jururawat.

Katanya, kesedihan menyebabkan emak dan ayahnya tidak berdaya hadir ke Jabatan Forensik HRPB bagi proses bedah siasat anak bongsu dari empat beradik berkenaan.

“Emak dan ayah saya tak kuat, jadi sebab itu mereka tidak datang ke sini, lagi-lagi emak saya,” katanya.

Jenazah Muhammad Zaharif Affendi dituntut keluarga selepas proses bedah siasat selesai jam 6.30 petang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Luar, di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan menerusi kenyataan berkata, pegawai kanan polis dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah yang dipercayai terbabit dalam insiden itu sudah ditahan dan akan menjalani proses permohonan reman, esok.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini