comscore
Tumpuan :
Nasional

Diupah RM10,000 untuk sorok dadah dalam rumah 

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki tempatan dicekup polis dalam satu serbuan Ops Tapis di sebuah rumah di Kampung Paya Datu, Manir.

Suspek ditahan jam, 10.30 pagi kelmarin dalam serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu.

Ketika serbuan dilakukan, suspek sedang menjalankan aktiviti menagih dadah.

Polis kemudiannya menemui 4,027 gram pil yaba dan 33.1 gram heroin yang disembunyikan dalam beg yang diletakkan di atas lantai rumah.

Suspek yang tinggal bersama neneknya di rumah berkenaan dipercayai mengambil upah RM2,000 sebulan dari tokan sejak Disember 2023 untuk menyorokkan dadah di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, ketika ditemui mengesahkan perkara itu.

“Suspek memperolehi upah hampir RM10,000 sejak Disember sehingga ditangkap, dan nilai dadah yang dirampas pula RM340,000.

“Polis kini sedang mengesan dan mengenal pasti dua ke tiga individu yang juga tokan dadah terbabit”, katanya.

Selain itu polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha dan wang tunai milik suspek dipercayai hasil jualan dadah berjumlah RM240.

Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran sekitar Kuala Terengganu.

Suspek kini direman selama 7 hari bermula semalam sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini