comscore
Tumpuan :
Nasional

El Nino: Ibu bapa boleh buat aduan jika sekolah adakan aktiviti luar bilik darjah 

FADHLINA (dua dari kanan) ketika hadir Program Kem Generasi Madani Pemimpin Murid SMKA Peringkat Kebangsaan, hari ini.(Foto Azrul Edham)

SEREMBAN: Ibu bapa boleh mengemukakan aduan secara rasmi kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sekiranya terdapat pihak sekolah mengadakan aktiviti luarbilik darjah ketika fenomena El Nino dan keadaan cuaca panas mencapai tahap melebihi 35 darjah Celsius.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya sudah mengeluarkan garis panduan iaitu sebarang aktiviti luar bilik darjah tidak boleh dijalankansekiranya suhu mencapai 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

“Garis panduan itu harus diikuti dan dalam masa sama juga kita merujuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa.

“Ia bertujuan untuk mendapatkan pedoman berkaitan isu cuaca (El Nino) ini. Garis panduan itu memang perlu dipatuhi oleh pihak sekolah.

“Bagaimanapun sekiranya ada aduan rasmi daripada ibu bapa, saya mohon untuk dipanjangkan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi membolehkantindakan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kem Generasi Madani Peringkat Pemimpin Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kebangsaan 2024, di Klana Resort, di sini, malam ini.

Kem tiga hari  yang disertai seramai 256 orang pelajar daripada 61 buah SMKA seluruh negara bertujuan untuk melahirkan pemimpin pelajar yang mempunyai identiti nasional berkonsepkan Malaysia MADANI

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr Roslan Hussin.

Beliau mengulas kemunculan maklumat di laman sosial mengenai rungutan ibu bapa yang mendakwa ada sekolah di Terengganu merancang untuk mengadakan aktiviti merentas desa pada minggu ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak terutama ibu bapa berkaitan perkara berkenaan.

“Kita alu-alukan sebarang aduan dan akan menjalankan siasatan sama ada ia berasas atau sebaliknya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa KPM tidak mempunyai halangan untuk terus menangguhkan sebarang aktiviti luar bilik darjah jika fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini berterusan.

“KPM akan terus berkolaborasi dengan Kementerian Kesihatan untuk memantau keadaan cuaca dan juga status kesihatan pelajar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini