comscore
Tumpuan :
Fail Mahkamah

FAIL MAHKAMAH: Mencari kebenaran MH370

 

FAIL MAHKAMAH: 10 tahun berlalu, kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 masih menjadi tanda tanya.

Operasi pencarian dilakukan secara besar-besaran dengan membabitkan 26 negara meliputi kawasan seluas 2.24 juta batu nautika.

Harapan terus disandarkan oleh 239 keluarga mangsa penumpang dan juga kru pesawat MH370 agar segala usaha pencarian dapat diteruskan sekaligus menjawab segala teka-teki selama ini.

Namun, segala isu yang timbul tidak mudah untuk diselesaikan. Tambahan pula, mempunyai cabaran tersendiri apabila kewujudan pelbagai spekulasi daripada pelbagai pihak.

Penyiasat Operasi, Annex 13, Datuk Mohd Rafique

Menurut bekas pegawai penyelidik kanan MH370, Kapten Abdul Wahab Ibrahim, kebanyakannya orang perlukan perhatian daripada orang ramai dengan membuat andaian yang tidak tepat.

“Setakat ini walaupun kita tengok di internet, banyak blogger kata dah jumpa, we have new evidence, the aircraft is here and all that.

“Tapi sebabkan bukti yang tak cukup, macam mana dia tulis, macam mana dia dapat conclusion, tidak berapa conclusive,” jelasnya.

Tambah penyiasat operasi, Annex 13, Datuk Mohd Rafique, menjelaskan selagi tidak dapat menemui pesawat, selagi itu tidak akan dapat kebenaran.

“Jadi banyak spekulasi berkenaan ini berlaku, yang itu berlaku, tetapi ianya adalah satu spekulasi yang tidak ada fakta,” katanya dalam program Fail Mahkamah.

Biarpun insiden kehilangan pesawat MH370 sudah sedekad berlalu, keluarga mangsa terus menerus masih menaruh harapan agar usaha pencarian dapat diteruskan.

Walaupun tidak dapat menemui jasad mangsa, akan tetapi sekiranya dapat mengetahui punca sebenar nahas MH370 sudah memadai terutama buat keluarga mangsa. Setiap orang pasti mempunyai keinginan untuk mengetahui punca mengapa pesawat MH370 hilang tanpa jejak.

Sehingga kini, usaha untuk meneruskan pencarian pesawat malang itu tidak akan dihentikan oleh Kerajaan Malaysia.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau berbesar hati untuk membuka semula pencarian pesawat MH370 jika terdapat bukti yang kukuh.

Sebelum itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyuarakan komitmennya untuk mencari jawapan bagi keluarga mangsa pesawat MH370.

Justeru, beliau berkata, pihaknya bersedia untuk bertemu firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity bagi membincangkan cadangan pencarian itu atas kapasiti ‘no find, no fee’ (tidak jumpa, tiada bayaran) seperti yang dicadangkan oleh waris mangsa tragedi berkenaan.

Bagi tujuan itu, katanya, beliau akan mendapatkan kelulusan Kabinet berhubung perjanjian dengan Ocean Infinity, dan menjangka tiada masalah untuk Kabinet memberikan kelulusan.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, sebelum ia diumumkan berakhir di Lautan Hindi.

Saksikan imbasan pencarian pesawat MH370 menerusi program Fail Mahkamah pada jam 9 malam, malam ini di TV3 atau strim menerusi www.tonton.com.my dan aplikasi Tonton.

Loading...
Terkini