comscore
Tumpuan :
Nasional

Flat diserbu, Imigresen tahan 57 warga asing

Foto ihsan JIM

JOHOR BAHRU: Serbuan di sebuah flat oleh Jabatan Imigresen dekat Pasir Gudang di sini tengah malam tadi  membawa kepada penahanan 57 warga asing.

Serbuan sempena Ops Sapu kira-kira jam 12.20 tengah malam itu adalah yang kedua membabitkan lokasi sama, selepas kali pertama ia diserbu tahun lalu.

Dalam serbuan semalam, semua warga asing termasuk lapan wanita ditahan berusia antara 19 hingga 64 tahun kerana didapati tiada dokumen pengenalan diri  yang sah,  termasuk ada yang tinggal lebih masa di negara ini.

Pengarah Imigresen negeri, Baharuddin Tahir berkata, operasi hasil risikan seminggu selepas menerima aduan orang awam mengenai kewujudan warga asing yang menimbulkan kegusaran komuniti setempat.

Foto ihsan JIM

“Dalam serbuan ini 374 warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Nepal, India dan Filipina diperiksa.

“Daripada jumlah itu seramai 24 warga Pakistan, diikuti 21 warga Indonesia termasuk lapan wanita; lapan warga Bangladesh; tiga Nepal dan seorang warga India ditahan,” katanya menerusi kenyataan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

Semua yang ditahan ditempatkan di Depoh Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Baharuddin turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membuat aduan dan mengambil berat terhadap isu berkaitan pendatang asing tanpa izin.

Loading...
Terkini