comscore
Tumpuan :
Nasional

KDN, Imigresen, MOTAC dipanggil bantu prosiding pelancong tinggal lebih masa

 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Wakil beberapa kementerian dan agensi kerajaan dipanggil menyertai prosiding siasatan isu pelancong asing tinggal lebih masa di negara ini.

Ia membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen (Imigresen) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen dalam kenyataan hari ini berkata, prosiding itu dijalankan bagi menangani kebimbangan mengenai isu terbabit.

Katanya, prosiding sama turut membuka peluang bagi jawatankuasa itu menyemak prosedur dilakukan Imigresen di pintu masuk negara.

Menurutnya, semakan turut dibuat ke atas MOTAC membabitkan kawalan kegiatan dan aktiviti ejen pelancongan tidak berdaftar yang membawa masuk pelancong ke negara ini yang menyumbang kepada isu terbabit.

“Jawatankuasa komited memainkan peranan sebagai mekanisme semak dan imbang kepada badan eksekutif, selain berpandangan isu ini tidak boleh diabaikan.

“Keberadaan golongan ini yang tidak dapat dikesan atau dipantau menimbulkan persoalan mengenai kegiatan mereka, selain berkemungkinan boleh mengganggu gugat keamanan dan keharmonian masyarakat negara ini,” katanya.

Kenyataan itu berkata, penyertaan wakil KDN dan Imigresen bertujuan memberi penerangan mengenai faktor menyebabkan peningkatan pelancong asing yang tinggal melebihi tempoh dan langkah menanganinya.

Katanya, penyertaan wakil MOTAC bagi memberi taklimat berkenaan prosedur dan pemantauan aktiviti ejen pelancongan tidak berdaftar yang menjurus kepada isu pelancong tinggal melebihi had ditetapkan.

Prosiding dipengerusikan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, dibantu Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Pekan); Datuk Anyi Ngau (Baram);Lim Lip Eng (Kepong); Pang Hok Liong (Labis); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang); Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini