comscore
Tumpuan :
Nasional

Helikopter Terhempas: Saya mohon untuk dibawa ke rumah saya dulu, hendak lihat jenazah kali terakhir – Kakak

SIK: Kakak Allahyarham Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun, berharap jenazah dapat dibawa pulang ke rumah sebentar.

Noryani Tamadun, 50, memaklumkan jenazah adiknya akan dikebumikan selepas asar di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Muhtahdin di Sik Dalam, hari ini.

Dia dimaklumkan jenazah akan dibawa ke Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Tambun, Perak untuk solat jenazah.

Katanya, selesai urusan itu, jenazah akan terus dibawa ke lokasi pengebumian pada jam 2 petang, namun keluarganya berharap arwah dapat dibawa pulang ke rumah sebentar.

“Saya mohon untuk dibawa ke rumah saya dulu kerana adik beradik dan saudara mara hendak lihat jenazah buat kali terakhir, kemudian baru dibawa ke tanah perkuburan.

“Sejak semalam rumah saya tidak putus dikunjungi orang ramai dan sanak saudara dan pagi ini masih ramai orang, saya harap jenazah dapat dibawa ke rumah sekejap sebelum dikebumikan,” katanya yang tinggal di Kampung Tanjung di sini.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, isteri dan anak Allahyarham berada di Perak dan akan pulang ke Sik mengiringi jenazah petang ini.

Katanya, salah seorang adiknya iaitu Maizatul Akmar, 38, yang bertugas sebagai polis di Pahang juga berada di Perak sejak semalam, bagi membantu menguruskan jenazah adik bongsu mereka.

“Pihak kariah masjid juga sudah menggali liang kubur petang semalam, dan semua persediaan sudah dibuat untuk proses pengebumian.

“Insya-Allah lepas Asar adik saya akan disemadikan, saya harap semuanya akan berjalan lancar, terima masih kepada semua pihak yang membantu,” katanya.

Semalam, media melaporkan seramai 10 anggota tentera maut dalam nahas dua helikopter milik TLDM yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, pagi semalam.

Kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas itu dilaporkan sedang menjalani Latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Berdasarkan laporan, dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec telah berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.

Bagaimanapun, berlaku pelanggaran di udara sebelum masing-masing terhempas di tangga Stadium Pangkalan TLDM dan berdekatan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini