comscore
Tumpuan :
Nasional

KDN akan bentang laporan ketidakpatuhan NGO kepada Jemaah Menteri

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan laporan berhubung status ketidakpatuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada Jemaah Menteri pada suku pertama tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, laporan itu turut merangkumi senarai NGO yang telah dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Jelasnya, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membangkitkan isu NGO yang tersasar daripada tujuan asal penubuhan, selain wujud elemen pelanggaran Undang-Undang Tubuh dan Akta Pertubuhan 1966.

“Perkara ini disuarakan Jemaah Menteri dan mengarah KDN menyediakan laporan awal dan kami akan menyiapkannya pada suku pertama tahun depan. Adalah adil untuk memberi tempoh secukupnya kepada RoS bagi menyediakan laporan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Pertubuhan Prihatin Komuniti 2023 sempena penyerahan replika cek Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK), di sini hari ini.

Tambahnya, sebanyak 54,642 NGO telah dibatalkan sejak 1966 kerana isu ketidakpatuhan termasuk gagal menghantar laporan kewangan tahunan.

RoS juga telah diarah untuk melakukan pemeriksaan NGO secara rawak mulai tahun depan dan meneliti laporan kewangan mereka bagi mengelak pertubuhan terbabit menggunakan ia sebagai platform melakukan perkara bercanggah undang-undang seperti aktiviti ‘cuci wang’ atau membiayai kegiatan haram.

“Saya kena tegaskan ia bukan terus batal (NGO) tetapi ada proses. Proses itu berupa peringatan kepada pemegang jawatan yang menguasai satu pertubuhan supaya patuh kerana kegagalan mereka untuk respons, kita anggap ia tidak aktif. Lebih baik kita ‘bersihkan’, jadi proses (batal) itu berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad dalam ucapannya berkata, sehingga 10 Disember lalu, sebanyak 1,118 aktiviti pemeriksaan dilakukan terhadap pertubuhan berdaftar.

Sebanyak 26 peratus daripadanya didapati melanggar undang-undang tubuh atau perlembagaan pertubuhan masing-masing.

Pemeriksaan itu merangkumi empat kategori utama iaitu kategori keagamaan, rekreasi, kebajikan dan sosial.

“Adalah menjadi tanggungjawab pemegang jawatan untuk terus patuh kepada perlembagaan pertubuhan, Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984 bagi mengelakkan pertubuhan dibatalkan dan sekali gus memberi kesan kepada individu kerana akan disenarai hitam daripada memegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan lain selain politik,” katanya.

Loading...
Terkini