comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan bakal lancar Jualan Rahmah beras

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan & Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan Jualan Rahmah beras dalam masa terdekat bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, mekanisme berkaitan pelancaran program itu bakal diumumkan kemudian oleh kementeriannya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh

“Sebenarnya berkenaan kawal selia padi dan beras kita semua tahu bahawa ia dari A sampai Z di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Beras merupakan harga kawalan yang KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) tiada kuasa mengawal pun, harga pun tak.”

“Akan tetapi hari-hari kita mendengar rintihan rakyat, ada yang sampai merayu.”

“Maka KPDN cuba cari jalan bagaimana dalam ruang lingkup bidang kuasa kita boleh menyelesaikan isu kenaikan harga beras import dan ketiadaan beras tempatan seperti didakwa,” katanya di Dewan Rakyat.

“Ini betul-betul untuk membantu rakyat yang betul-betul tidak mampu supaya mereka dapat membeli beras keperluan harian mereka dengan harga yang kita subsidikan melalui peruntukan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan yang diluluskan oleh parlimen sebanyak RM100 juta dan diumumkan oleh YAB PM tambahan RM50 juta.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2023-2025.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan harga beras tempatan tidak akan mengalami kenaikan meskipun harga beras import dari India meningkat sebanyak 40 peratus.

Media sebelum ini melaporkan, harga beras dunia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh hampir 15 tahun selepas pengeksport utama, India menyekat penghantaran beras putih bukan basmati hujung Julai lalu.

Susulan situasi itu, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam kenyataan memberitahu, harga beras putih import meningkat 36% iaitu sebanyak RM850 satu tan metrik atau 85 sen sekilogram.

 

 

 

 

 

Loading...
Terkini