comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes samun pelajar UTHM, penyamun ada 27 & 33 rekod jenayah ditangkap – Polis

MUAR: Tiga lelaki warga tempatan yang disyaki menyamun di kediaman pelajar wanita, Universiti Tun Hussein Onn, (UTHM) kampus Pagoh dekat sini semalam, diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, suspek pertama berumur 22 tahun ditahan di susur keluar, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pagoh, kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Manakala dua lagi rakan suspek yang berumur 20-an ditahan kira-kira jam 11.40 malam oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Johor, di sebuah taman perumahan di Kulai, hari yang sama.

“Kedua-dua suspek mempunyai 27 dan 33 rekod jenayah lampau. Ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah” katanya dalam satu kenyataan.

Polis turut menemui semula pelbagai barangan yang disyaki hasil samun termasuk satu utas rantai emas, dua telefon bimbit.

Turut ditemui sebilah pisau serta satu paket plastik lutsinar berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 3.15 gram.

Katanya, dengan kejayaan itu polis telah menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh 24 jam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara dua puluh tahun dan sebat.

Semalam tular di media sosial kes samun membabitkan dua suspek dilaporkan masuk ke dalam bilik mangsa sambil mengacukan pisau dan mengambil barang berharga milik mereka sebelum melarikan diri.

Mangsa kemudian membuat laporan polis kira-kira jam 3 pagi, di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini