comscore
Tumpuan :
Nasional

Lapan jenazah mangsa nahas helikopter selesai disolatkan, dibawa balik ke kampung masing-masing

 Konvoi lapan van jenazah membawa mangsa nahas dua helikopter di Lumut, semalam dilihat memasuki pekarangan Kem Gua Permai, Batalion ke-23 di Jalan Tambun, Ipoh kira-kira jam 4.55 petang tadi sebelum dilihat keluar kira-kira jam 6 petang selepas selesai solat jenazah di kem itu. Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.

IPOH: Konvoi lapan van jenazah membawa mangsa nahas dua helikopter di Lumut, semalam dilihat keluar dari pekarangan Kem Gua Permai, Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD) di Jalan Tambun, di sini, kira-kira jam 6 petang tadi selepas selesai solat jenazah.

Ketibaan semua lapan jenazah beragama Islam itu pada kira-kira  jam 4.55 petang turut diiringi beberapa kenderaan tentera lain adalah untuk disolatkan di situ sebelum dilihat keluar secara berasingan untuk dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan.

Difahamkan, waris kepada lapan mangsa itu turut dibenarkan masuk bagi menyambut ketibaan jenazah di kem berkenaan selepas dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Terdahulu, semua 10 jenazah mangsa nahas itu dibawa dari Jabatan Forensik HRPB dengan menaiki van milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 4.35 petang.

Lapan jenazah berkenaan adalah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad; Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli; Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi; dan Pegawai Waran II TNL Nurfarahimi Mohd Suady.

Jenazah lain yang turut disolatkan ialah Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; Bintara Muda TNL Nor Rahiza Anuar; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi dan Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin.

Dua jenazah bukan Islam pula bagaimanapun terus dibawa pulang selepas bertolak dari pekarangan Jabatan Forensik HRPB.

Jenazah Leftenan Sivasutan Thanjappan dibawa oleh pihak TLDM ke kediaman keluarganya di Sitiawan, Perak dan dijadual disemadikan esok manakala jenazah Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna dibawa pulang ke Serian, Sarawak menggunakan pesawat C-130 milik TUDM untuk disemadikan.

Semasa di kem tentera berkenaan, kebanyakan pengamal media yang membuat liputan bagi proses solat jenazah lapan mangsa itu hanya dibenarkan membuat liputan di luar pekarangan kem.

Ketibaan wartawan jam seawal 1.20 tengah hari tadi mendapati beberapa anggota tentera dilihat mengawal pintu masuk kem khususnya aliran kenderaan yang keluar masuk kem itu, dengan pengamal media turut tidak dibenarkan meletakkan kenderaan berhampiran pagar kawasan kem.

Bagaimanapun, difahamkan hanya media rasmi termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sahaja yang dibenarkan memasuki kawasan kem berkenaan bagi acara solat jenazah itu.

Pada jam 2.08 petang tadi, lapan van jenazah dilihat berlepas dari kawasan kem itu menuju ke Jabatan Forensik HRPB bagi mengambil jenazah di sana untuk dibawa ke kem bagi proses solat jenazah itu.

Sementara itu, TLDM menerusi kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut berkata proses bedah siasat 10 mangsa insiden helikopter itu sudah selesai  jam 2.20 petang tadi.

Menurut kenyataan itu, jenazah mangsa beragama Islam dibawa ke Kem Batalion Ke-23 RAMD, di sini hanya untuk solat jenazah memandangkan penghormatan terakhir buat semua perwira yang gugur itu akan dilaksanakan mengikut tradisi tentera laut di setiap lokasi pengebumian yang dipersetujui waris masing-masing.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini