comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lelaki maut terjatuh dalam mesin pembancuh simen


SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki dijumpai dalam sebuah mesin pembancuh simen di sebuah kilang di Seksyen 35 di sini hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.44 pagi daripada orang awam.

“Siasatan dan pemeriksaan oleh pihak Forensik Selangor ke atas badan si mati mendapati tangan sebelah kanan dari paras siku dan kepala terputus.

“Siasatan mendapati, tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh si mati yang boleh menyebabkan kematian mangsa.

“Mangsa dipercayai terjatuh sendiri ke dalam tangki bancuhan simen dan terkena bilah pembancuh simen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, identiti mangsa sudah dikenal pasti oleh waris melalui pengecaman tatu pada lengan sebelah kiri.

“Mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menjalankan proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian simati dalam kes ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Sudden Death Report (SDR). Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Shahrul Bakhri di talian 012-3630512,” katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.55 tengah hari tadi.

“Komander operasi melaporkan terdapat satu mangsa lelaki, iaitu seorang pekerja kilang berumur 50-an terjatuh di dalam mesin terbabit.

“Operasi  mengeluarkan mayat mangsa tamat pada jam 4 petang dan mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini