comscore
Tumpuan :
Nasional

NST ungguli Anugerah Media SPRM 2023

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyampaikan hadiah tempat pertama kategori media cetak kepada Mohd Jamilul Anbia Md Denin pada Anugerah Media SPRM 2023 di Hotel Impiana, Kuala Lumpur hari ini.-Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Wartawan News Straits Times (NST) berjaya mengungguli Anugerah Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2023, malam ini.

Pada majlis itu, Laporan ‘Pakej beli bayi ‘ oleh Pengarang Berita HM, Mohd Jamilul Anbia Md Denin diumumkan sebagai pemenang utama kategori media cetak dan portal berita.

Tempat kedua dimenangi oleh wartawan NST, Aliza Shah Muhammad Shah, Iylus Marsya Iskandar, Siti Nur  Amalina Kamal dan P. Kalbana menerusi laporan bertajuk MACC Netting More Big Fish.

Jamilul  membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 bersama plak dan sijil manakala kumpulan wartawan NST pula menerima hadiah wang tunai RM4,000.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada sesi bergambar dengan para pemenang Anugerah Media SPRM 2023 di Hotel Impiana, Kuala Lumpur hari ini. -Foto: NSTP

Semua anugerah disampaikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Terdahulu, Azam menerusi ucapannya berkata SPRM amat berbesar hati dengan sambutan yang menggalakkan daripada pengamal-pengamal media yang  menyertai Anugerah Media SPRM 2023.

“Saya amat berterima kasih kepada peserta-peserta atas liputan, laporan dan artikel berkaitan SPRM dan pencegahan rasuah yang dihasilkan.”

“Laporkanlah isu-isu rasuah dengan penuh tanggungjawab untuk mendidik masyarakat, dedahkan kepada mereka tentang bahayanya rasuah kepada negara,” katanya.

Anugerah Media SPRM 2023 diadili dua pakar media iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Mustapa Omar dan Penasihat Editorial Bebasnews, Datuk Mohd Zaini Hassan serta dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Jules Rahman Ong.

Turut hadir majlis ini ialah Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian,  M Thillinadan.

Anugerah Media SPRM 2023 adalah penganjuran kali keempat sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2020 oleh SPRM bertujuan mengiktiraf karya-karya kewartawanan berkaitan dengan isu-isu rasuah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini