comscore
Tumpuan :
Nasional

Op Selamat 22: Jumlah kemalangan, kematian catat penurunan

 

Foto hiasan

Oleh: Fahmi Tajuddin

KUALA LUMPUR: Jumlah kemalangan jalan raya dalam Op Selamat 22 merekodkan penurunan sebanyak 1.41 peratus berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata menerusi Op Selamat 22 sebanyak 8,862 kes kemalangan jalan raya direkodkan berbanding 8,989 kes pada tahun lalu.

Selain itu, kes kemalangan maut mencatatkan penurunan sebanyak 10 peratus dengan 105 kes direkodkan berbanding 117 kes pada tahun sebelumnya.

Jumlah kematian akibat kemalangan pula merekodkan 119 kes iaitu pengurangan sebanyak tujuh kes berbanding 126 kes pada 2023.

“Penunggang dan pembonceng motosikal masih mencatatkan kematian tertinggi iaitu 79 kematian dalam OP Selamat pada kali ini berbanding 80 kematian yang direkodkan pada tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Razarudin berkata, antara punca utama kemalangan adalah kerana kegagalan mengawal kenderaan sehingga terbabas akibat keletihan dan mengantuk serta tidak menjaga jarak pemanduan yang selamat antara kenderaan.

Sementara itu, beliau berkata, walaupun kes kemalangan mencatatkan penurunan, jumlah saman yang dikeluarkan dalam Op Selamat 22 meningkat kepada 292 peratus.

“Sepanjang tempoh OP Selamat 22 dijalankan sebanyak 114,467 saman telah dikeluarkan berbanding 29,216 saman pada Op Selamat yang lepas,” ujarnya.

Tambahnya lagi, peningkatan pengeluaran saman itu adalah bertujuan memberi peringatan kepada pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan lalu lintas.

Selain itu, katanya, statistik kes jenayah pecah rumah pada Op Selamat kali ini mencatatkan 189 kes berbanding 272 kes pada tahun lalu iaitu penurunan sebanyak 31 peratus berbanding Op Selamat sebelum ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini