comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar maut merentas desa: Jenazah Nuqman selamat dikebumikan 

Jenazah Nuqman Naufal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhah, Kota Seriemas. FOTO: NSTP

NILAI: Jenazah pelajar Sekolah Menegah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah yang meninggal dunia ketika menyertai acara merentas desa, pagi semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhah, Kota Seriemas, di sini, kira-kira 2.30 pagi tadi.

Terdahulu, kira-kira 6.30 petang semalam, kelihatan kenderaan polis membawa jenazah Allahyarham Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, keluar dari Hospital Tunku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

Jenazah pelajar tingkatan dua itu kemudiannya dituntut ahli keluarganya kira-kira 12.30 tengah malam tadi di Jabatan Perubatan Forensik HTJ.

FOTO: NSTP

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Putra Nilai, di sini untuk disembahyangkan dengan kehadiran kira kira 300 ahli keluarga serta rakan Allahyarham.

Turut kelihatan beberapa pegawai dipercayai daripada Kementerian Pendidikan.

Usaha mendapatkan maklum balas keluarga atau rakan Allahyarham tidak berhasil apabila mereka enggan ditemu bual.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang mendapat gambaran awal daripada pihak sekolah dan ibu bapa remaja terbabit memaklumkan guru sudah sedaya upaya untuk menyelamatkan pelajar itu.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak menularkan maklumat tidak betul berhubung kejadian dan menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Hanya orang terdekat dengan Allahyarham dan mereka yang berada di lokasi kejadian yang mengetahui apa sebenar berlaku. Jadi saya harap benda ini tak diviralkan dengan salah dan saya sudah jumpa keluarga.

“Mereka menyatakan menerima apa yang terjadi ini sebagai takdir,” katanya ditemui di Unit Perubatan Forensik, HTAN, petang semalam.

Pihak media masih lagi menunggu kenyataan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Sembilan berhubung insiden berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini