comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengemis OKU ‘Celup’

Foto Hiasan

KOTA BHARU: Penyamaran seorang lelaki sebagai pengemis Orang Kurang Upaya (OKU) terbongkar selepas dia ‘membuka langkah seribu’ ketika dikejar pihak berkuasa dalam satu serbuan yang dilaksanakan pada jam 10.30 pagi di Jalan Kebun Sultan, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, pengemis ‘celup’ berusia 36 tahun itu yang dikesan tidak mempunyai kad OKU mendakwa pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya, sekaligus menyebabkan kakinya sukar untuk berjalan.

Foto Hiasan

Ekoran penyamaran sebagai individu OKU untuk mengemis terbongkar, lelaki bertongkat itu menangis dan merayu meminta agar dirinya dilepaskan.

“Maafkan aku, lepaskan aku, toksey gi toksey gi. Aku janji tak buat lagi, tolonglah lepaskan aku,” rayunya.

Lelaki berkenaaan antara puluhan lagi pengemis jalanan di sekitar Kota Bharu yang ‘diselamatkan’ Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) menerusi Op Pengemis Jalanan.

Berdasarkan rekod MPKB, seramai 49 pengemis terdiri daripada 27 warga tempatan dan 22 warga asing diselamatkan daripada sindiket sepanjang operasi ini dilaksanakan dari Januari 2023 hingga Mac 2024.

MPKB juga mendapati beberapa kawasan tumpuan orang ramai seperti di perkarangan masjid, pasar dan bank menjadi lokasi pilihan sindiket untuk menjalankan kegiatan mengemis mereka.

Menurut Ketua Bahagian Penguatkuasa MPKB, Mohd Halimie Mat Salleh, modus operandi kegiatan mengemis tersebut didalangi satu sindiket yang aktif mencari mangsa dari kalangan orang kampung termasuklah warga asing dari Thailand.

“Mereka (sindiket) akan pilih yang mana ada cacat anggota, OKU lah, atau ada juga yang ada bayi yang boleh buat kita simpati. Dia hantar pagi, lepas tu, dia akan datang ambil semula petang,” katanya.

Operasi yang dijalankan turut mengesan seorang OKU berasal dari Narathiwat, Thailand dengan kecacatan pendengaran yang mengemis di laluan pejalan kaki sekitar premis bazar Buluh Kubu.

Bagi pendedahan penuh operasi dan pelbagai rangkuman kes sepanjang minggu, saksikan program 999 malam ini di TV3.

Program 999 bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam dan strim sekarang melalui Tonton!

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini