comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia-EU akan teruskan kerjasama rapat EUDR, MSPO

KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia akan terus bekerjasama rapat dalam pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) yang akan datang.

Kerjasama itu juga mengenai cara standard Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dapat menyediakan kesediaan dan jaminan di bawah EUDR untuk rakan kongsi rantaian bekalan serta pengawal selia di EU.

Dalam kenyataan bersama EU-Malaysia, Kementerian Perladangan dan Komoditi berkata, pada persidangan secara maya yang diadakan semalam, Pesuruhjaya EU bagi Alam Sekitar dan Perikanan, Virginijus Sinkevičius dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani membincangkan EUDR serta peranan MSPO.

Ia berkata, Sinkevičius memuji usaha Malaysia untuk menurunkan tahap penebangan hutan ke paras rendah yang belum pernah berlaku sebelum ini dan mengiktiraf komitmen negara ini terhadap pengeluaran komoditi mampan yang diperakui.

Katanya, EU kekal sebagai pasaran penting bagi komoditi Malaysia yang dihasilkan secara mampan.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk memperbaharui usaha mereka bagi memastikan aliran perdagangan positif semasa antara Malaysia dan EU akan berterusan tanpa gangguan.

“Kedua-dua pihak mengharapkan kerjasama yang berterusan untuk memastikan kesahihan dan kemampanan komoditi utama melalui Pasukan Petugas Bersama EUDR yang ditubuhkan pada 2023,” katanya.

Kementerian Perladangan dan Komoditi berkata, Sinkevičius menegaskan kesediaan EU untuk terus bekerjasama dengan Malaysia ke arah meningkatkan rantaian bekalan bebas penebangan hutan.

Dalam konteks itu, ia menjelaskan EU akan menyokong mandat pengeluaran mampan minyak sawit Malaysia selaras dengan keperluan EUDR.

Kawasan tanaman kelapa sawit Malaysia terdiri daripada ladang besar (73 peratus) dan pekebun kecil (27 peratus).

Sementara itu, Johari menekankan peranan skim pensijilan MSPO dalam mengukuhkan usaha memenuhi keperluan EUDR, yang merangkumi keperluan kemampanan global, iaitu, kebolehkesanan, bebas penebangan hutan, hak milik tanah yang sah dan amalan buruh yang baik.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia kekal teguh dalam komitmennya untuk mencapai sasaran kemampanan dan mematuhi piawaian global.

Dalam pada itu, Sinkevičius mengalu-alukan komitmen itu dan menandakan sokongan EU terhadap usaha Malaysia.

EUDR bertujuan untuk menyumbang kepada perjuangan global menentang penebangan hutan dan degradasi hutan dengan menangani kedua-dua penebangan hutan yang sah dan haram.

Ia bertindak balas kepada komitmen yang dibuat oleh masyarakat antarabangsa untuk menamatkan penebangan hutan.

Ia meliputi tujuh komoditi iaitu getah, kayu, lembu, minyak sawit, soya, kopi dan koko yang dihasilkan di EU atau di luar negara.

Ia mewujudkan usaha wajar dan kewajipan pengesanan yang ketat bagi syarikat untuk membersihkan rantaian bekalan mereka daripada produk yang dikaitkan dengan penebangan hutan dan degradasi hutan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini